Kenyataan Media

200 ASNAF FAKIR MISKIN GEMBIRA MENERIMA BANTUAN TAJA BERBUKA: PEK IFTAR DAN BAKUL MAKANAN

Merlimau, Melaka 10 Mei: Serantau Muslim (SM) bersama rakan kerjasama Madinah International Foundation (MIF) dan Hasene International telah mengadakan satu majlis taja berbuka: Iftar dan bakul makanan untuk asnaf di Masjid Asy-Syuja’ah Merlimau, Melaka semalam.

Program yang dianjurkan ini telah disempurnakan dengan kehadiran Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor, Pengurus Besar Serantau Muslim, Dato Dr Baharuddin bin Abdul Rahman, Pengurus Besar Madinah International Foundation dan beberapa orang wakil dari NGO Hasene International.

Dalam program tajaberbuka kali ini, hampir 200 orang penerima yang terdiri dari asnaf fakir miskin kawasan sekitar telah mendapat manfaat daripadanya. Antara makanan asas yang diterima asnaf ialah beras, biskut, minyak masak, susu, tepung, gula, sos cili, kordial, kicap, tepung gandum dan bihun.

Dianggarkan seramai 300 orang tetamu yang turut bersama-sama dalam majlis tajaberbuka ini.

Rata-rata penerima bantuan berasa bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang diberikan.

“Saya berasa sebak dan sangat berterima kasih dengan bantuan ini” kata Samnah Osman, 61 tahun.

Kebanyakan mereka juga mengharapkan majlis sebegini akan diadakan pada tahun-tahun akan datang.

“Saya berterima kasih dengan Serantau Muslim dan semua kerana memberi saya sumbangan, ini merupakan kali pertama saya mendapat bantuan sebegini” kata Norbihah Madun, 54, penerima pek iftsr bakul makanan.

Manakala menurut Hajah Zainah Ibrahim, 64 melahirkan rasa sangat bangga kerana terpilih menjadi salah seorang penerima bantuan pek bantuan dan berbanyak terima kasih kepada semua penderma dan pihak penganjur.

Majlis yang usai jam 8 malam ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua penerima bantuan di samping dapat mempererat hubungan antara Serantau Muslim dengan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Serantau Muslim mengharapkan orang ramai juga boleh bersama-sama Serantau Muslim menerusi program tajaberbuka.com pada masa akan datang kerana program ini khusus untuk meraikan para penduduk yang memerlukan bukan hanya di Malaysia malah di seluruh negara ASEAN.