2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

WARTAWAN HENDAK BERSALIN MAUT DALAM SERANGAN BOM KERETA

DUBAI: Seorang wartawan wanita yang dalam perjalanan ke hospital untuk melahirkan anak kedua, terbunuh manakala suaminya cedera dalam serangan bom, semalam.

Sumber kerajaan berkata, peranti letupan yang dipasang pada kenderaan wartawan Mahmud al-Atmi meletup ketika beliau membawa isterinya, Rasha Abdallah ke hospital untuk bersalin.

Kejadian berlaku di selatan bandar Aden, bandar yang ditadbir kerajaan Yaman.

Rasha, 27, dan suaminya yang mempunyai anak berusia dua tahun, pernah bekerja di beberapa syarikat media tempatan dan asing sebelum ini.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu tetapi Mahmud percaya ia didalangi pemberontak Houthi yang disokong Iran.

“Mereka cuba mencari alamat rumah saya,” katanya.

Tahun lalu, wartawan Yaman, Nabil Hasan al-Quaety, 34, turut maut ditembak oleh penyerang tidak dikenali ketika keluar dari kediamannya di Aden.

Puak Houthi menguasai bandar Sanaa pada tahun 2014, menyebabkan kerajaan Yaman yang disokong antarabangsa memindahkan pentadbiran mereka ke Aden.

Tindakan pemberontak itu juga mendorong pembentukan pakatan tentera negara tertentu diketuai Arab Saudi untuk menyekat kemaraan mereka.

Puluhan ribu penduduk dan orang awam awam terbunuh manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal sejak konflik tercetus dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan ia krisis kemanusiaan yang buruk.

Sumber: Berita Harian