2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-27 at 9.58.02 AM (2)
Uncategorized

Warga Gaza kelaparan, terpaksa sembelih kuda, makan dedak ternakan

Pengeboman tanpa henti dan pengepungan ketat Israel ke atas Semenanjung Gaza terus mengakibatkan krisis kelaparan semakin buruk sehingga ada antara penduduk terpaksa menyembelih kuda, makan rumput dan dedak ternakan demi kelangsungan hidup.

Di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, Abu Jibril menceritakan keadaan sukar itu sehingga memaksanya menyembelih dua ekor kuda miliknya untuk diberi kepada ahli keluarga, lapor Berita Harian yang memetik kenyataan penduduk berusia 60 tahun.

“Kami tidak punya pilihan lain selain menyembelih kuda untuk memberi makan anak-anak. Kelaparan membunuh kami”.

Tanpa memberitahu sesiapa mengenai daging kuda berkenaan, beliau memasak sebelum menghidangnya kepada keluarga dan jiran-jiran.

“Walaupun perlu, tapi saya bimbang akan reaksi mereka. Tiada siapa tahu mereka makan daging kuda,” katanya.

Kem Jabalia, yang ditubuhkan pada tahun 1948 dan meliputi kawasan seluas hanya 1.4 kilometer, adalah yang terbesar di Semenanjung Gaza.

Jibril dan keluarganya melarikan diri dari Beit Hanoun apabila pencerobohan Israel terhadap Gaza bermula dan berlindung di Sekolah UNRWA Al-Faluga.

Sebelum pencerobohan, air tercemar dan gangguan bekalan elektrik menjadi masalah utama di kem yang padat penduduk itu.

Kini, keadaan diburukkan lagi dengan masalah kehabisan bekalan makanan kerana agensi bantuan tiada akses ke kawasan berkenaan akibat pengeboman.

Penghuni kem mulai memakan sisa-sisa jagung membusuk, dedak ternakan selain rumput bagi menghilangkan rasa lapar.

Program Makanan Sedunia (WFP) minggu lalu memberi amaran bahawa keadaan di Gaza kini semakin bahaya dengan “tahap putus asa yang tidak pernah berlaku sebelum ini” manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa 2.2 juta orang berada di ambang kebuluran.

Sementara Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) memberi amaran bahawa kekurangan makanan yang membimbangkan selain peningkatan kekurangan zat makanan dan penyakit boleh membawa kepada “ledakan” kematian dalam kalangan kanak-kanak di Gaza.