Wanita Palestin bawa pisau dibunuh kerana mendekati tentera Israel
BAITULMAQDIS: Tentera Israel menembak mati seorang wanita Palestin yang memegang pisau cuba mendekati seorang askar Israel.
Tentera Israel dalam kenyataannya, berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Palestin.
Katanya, ‘cubaan menikam’ itu berlaku di kem Al Aroub di utara bandar Hebron.
“Penyerang bersenjatakan pisau mara ke arah askar IDF yang sedang menjalankan rondaan rutin keselamatan di Laluan 60.
“Askar bertindak balas dengan tembakan peluru hidup. Tiada sebarang kecederaan terhadap IDF dilaporkan,” katanya
Kementerian Kesihatan Palestin berkata mangsa meninggal dunia akibat terkena peluru di perut dan dikenali sebagai Ghofran Warasnah.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, berkata mangsa berusia 31 tahun.
Kelab Banduan Palestin, berkata wanita itu adalah wartawan yang pernah dipenjarakan oleh Israel sebelum ini.
Sejak lewat Mac lalu, 19 mangsa, kebanyakannya orang awam Israel termasuk 18 di dalam wilayah Israel dan seorang penduduk Tebing Barat, terbunuh dalam serangan oleh warga Palestin dan Arab-Israel.
Kes serangan meningkat susulan pihak keselamatan Israel bertindak balas dengan serbuan di Tebing Barat, khususnya di daerah utara Jenin, di mana tiga penyerang Arab Israel dan seorang polis komando terbunuh.
Sumber: BH