TUNJUK PERASAAN PELAJAR, ERDOGAN KECAM GERAKAN LGBT
ISTANBUL, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Presiden Recep Tayyip Erdogan mengecam gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Turki, kerana bertindak ‘vandalisme’ susulan tercetusnya tunjuk perasaan pelajar.
Empat orang ditangkap pada hujung minggu kerana menggambarkan kawasan suci Islam dengan gambar bendera pelangi LGBT ketika tunjuk perasaan di Universiti Bogazici Istanbul.
Tidak lama selepas ucapan Erdogan di televisyen semalam, satu lagi demonstrasi meletus di universiti yang sama dengan puluhan orang ditahan.
Rakaman media sosial menunjukkan polis mengheret pelajar yang telah melakukan tunjuk perasaan secara aman.
“Kami akan membawa anak muda ke masa depan, bukan sebagai pemuda LGBT, tetapi sebagai pemuda yang ada ketika kegemilangan negara lalu,” kata Erdogan ketika sidang video bersama anggota Parti AK yang berkuasa.
“Anda bukan pemuda LGBT, bukan pemuda yang melakukan perbuatan vandalisme. Sebaliknya, anda adalah individu yang memperbaiki hati yang hancur,” katanya.
Turki dilanda gelombang tunjuk perasaan pelajar bulan lalu selepas Presiden Turki melantik seorang penyokong setia kerajaan sebagai ketua Universiti Bogazici.
Dalam demonstrasi pada Jumaat lalu, para penunjuk perasaan menggantungkan sebuah karya seni di seberang pejabat rektor baharu yang menggambarkan tempat suci di Makkah dan gambar bendera pelangi gerakan LGBT.
Polis Turki menuduh empat individu ‘menghasut kebencian penduduk’. Dua dari mereka direman manakala dua lagi ditahan di rumah.
Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu menyifatkan suspek yang ditahan sebagai ’empat orang si pelik LGBT’.
Susulan penahanan itu, tunjuk perasaan oleh pelajar sekali lagi tercetus semalam – walaupun terdapat ratusan polis rusuhan – menuntut keempat-empatnya dibebaskan dan rektor berhenti.
Dalam isu ini, Serantau Muslim berharap anak-anak muda di seluruh dunia dapat menggunakan segala potensi diri yang ada untuk melakukan kebaikan kepada diri, masyarakat, agama dan negara, bukan terus terjebak dengan isu yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri dan negara.
Sumber: Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net