2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

TUJUH ASKAR SYRIA DIDAKWA TERBUNUH DALAM SERANGAN HENDAP

BEIRUT – Sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk tujuh askar Syria terbunuh dalam satu serangan ke atas sebuah bas, kata sebuah badan pemantau perang Syria yang beribu pejabat di Britain pada Ahad.

Serangan hendap itu turut menyebabkan 16 orang cedera yang menaiki kenderaan berkenaan dari bandar Raqqa di utara negara tersebut ke ibu kota Damsyik, lapor Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia (SOHR).

Ia merupakan serangan kedua dalam tempoh kurang seminggu dengan sasaran ialah sebuah bas membawa askar-askar dan kemungkinan sebahagian daripada keluarga mereka, kata Pengarah SOHR, Rami Abdel Rahman kepada AFP.

Dua orang awam turut terbunuh dalam kejadian itu, kata SOHR.

Bagaimanapun, agensi berita rasmi Syria, Sana berkata, sembilan orang terbunuh dalam serangan pengganas itu adalah orang awam.

Setakat ini, tidak ada mana-mana pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

Pada bulan lalu, hampir 40 askar termasuk lapan pegawai terbunuh dalam serangan hendap oleh kumpulan Negara Islam (IS) di wilayah Deir Ezzor, timur Syria.

Kumpulan IS menguasai sebahagian besar Syria dan Iraq sebelum berlakunya serangan-serangan yang mengakibatkan kekalahannya di dua buah negara tersebut.

Lebih 387,000 orang terbunuh dan berjuta-juta lagi dipaksa meninggalkan rumah masing-masing sejak perang saudara Syria meletus pada tahun 2011.

Sumber: Sinar Harian