2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

TENTERA SYRIA TAWAN 12 KAMPUNG, BEBERAPA BANDAR KECIL

BEIRUT, 17 Feb – Rejim tentera Syria menawan 12 kampung dan beberapa bandar kecil di barat laut negara itu, semalam.

Kesemua kawasan itu menjadi sasaran kerana ia adalah lokasi strategik kubu terakhir pemberontak.

Agensi berita rasmi Syria, SANA, berkata unit ketenteraan sedang memfokuskan kepada serangan di sekitar bandar Aleppo.

Pasukan rejim itu dikatakan sudah beberapa minggu berada di barat laut Syria dengan menyasarkan untuk memusnahkan kubu pemberontak di barat Aleppo.

Serangan ini dalam usaha untuk mengembalikan keamanan di Aleppo yang juga bandar kedua terbesar negara itu.

Walaupun pada 2016, Presiden Syria, Bashar al-Assad mengumumkan berjaya menawan keseluruhan Aleppo, namun bandar itu masih menjadi sasaran serangan pemberontak.

Minggu lalu, rejim Syria menawan laluan strategik iaitu lebuh raya M5 yang menjadi penghubung kepada bandar raya Damascus- Aleppo.

Aleppo adalah hab ekonomi utama di Syria, sebelum berlakunya perang saudara.

Menurut pemerhati, pasukan ketenteraan di bawah pimpinan Assad memperketatkan keselamatan di lebuh raya M5 yang pernah dirampas oleh pemberontak pada 2012.

Serangan yang disokong Russia itu mencetuskan gelombang perubahan terbesar dalam konflik sembilan tahun perang saudara di Syria.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 800,000 penduduk menjadi pelarian berikutan konflik berkenaan, manakala 380,000 orang awam terbunuh di Syria susulan tercetusnya bantahan antikerajaan di negara itu.

Sumber: Berita Harian