Info SemasaKenyataan Media

TENTERA MYANMAR MENGAKU SEKSA TAHANAN

YANGON – Tentera Myanmar mengaku anggotanya melakukan tindakan kekerasan ke atas tahanan di negeri Rakhine selepas rakaman video tentang perbuatan itu menjadi tular di media sosial.

Klip video itu yang tersebar pada Ahad lalu menunjukkan beberapa lelaki menumbuk dan menendang kepala tahanan dalam keadaan mata mereka ditutup dan tangan diikat.

Ia turut dikongsi sebanyak puluhan ribu kali oleh pengguna media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi kurang senang.

Kelima-lima tahanan tersebut ditahan selepas disyaki menjadi anggota pemisah Tentera Arakan (AA) dan dipindahkan kep Sittwe dengan menaiki bot pada 21 April lalu ketika insiden menggemparkan itu berlaku.

Keluarga mangsa dalam satu kenyataan menegaskan mereka tidak kaitan dengan AA yang berjuang menuntut kuasa autonomi untuk etnik Buddha di Rakhine.

“Dia hanya bekerja di sebuah kedai beras. Dia tidak tahu apa-apa tentang AA,” kata ibu kepada salah seorang tahanan, Nyi Nyi Aung.

Rakaman video itu menunjukkan muka Nyi Aung ditumbuk dan kepalanya turut ditendang tanpa perikemanusiaan oleh anggota tentera yang menyoal siasatnya.

Tahun lalu, tujuh anggota tentera yang dihukum penjara kerana membunuh sekumpulan penduduk Rohingya dibebaskan lebih awal berbanding dua wartawan yang dipenjarakan kerana mendedahkan perbuatan mereka.

Sumber: Sinar Harian