Tentera Israel tembak mati remaja Palestin
NABLUS: Tentera Israel membunuh seorang warga Palestin dalam serbuan di Tebing Barat, manakala empat warga Israel cedera dalam insiden tembakan berasingan, ketika keganasan baharu melanda wilayah yang diduduki, kata pegawai.
Kementerian Kesihatan Palestin, berkata mangsa yang terkorban, Faris Abdel Moneim Mohammed Hashash berusia 19 tahun ditembak mati oleh tentera Israel yang menduduki wilayah itu semasa pencerobohan terhadap kem Balata di Nablus, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, tentera Israel masih belum memberikan sebarang maklum balas mengenai serbuan yang disasarkan terhadap Balata.
Kakitangan Perkhidmatan Kecemasan Israel, Magen David Adom, berkata pihaknya merawat lima warga Israel yang cedera akibat terkena tembakan berhampiran pos pemeriksaan berhampiran bandar Jenin di utara Tebing Barat.
Katanya, semua mereka dimasukkan ke hospital itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tentera Israel berkata, pasukannya menerima laporan mengenai kejadian tembakan berhampiran bandar Yabad.
Sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya 158 rakyat Palestin, 21 warga Israel, seorang Ukraine dan seorang Itali dilaporkan terbunuh dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin, menurut pengiraan AFP yang disusun daripada sumber rasmi.
Angka itu termasuk pejuang serta orang awam dan di pihak Israel, tiga anggota minoriti Arab.
Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967.