Tentera Israel bunuh 6 pejuang Palestin di Tebing Barat
TEBING BARAT: Tentera Israel menyerbu kem pelarian di bandar Jenin, Tebing Barat dan membunuh sekurang-kurangnya enam pejuang Palestin, dalam operasi terbaru mereka.
Antara mangsa termasuk seorang lelaki bersenjata yang juga pejuang Hamas disyaki menembak mati dua beradik dari penempatan Yahudi berhampiran kampung Huwara, semalam, lapor Berita Harian.
Saksi berkata, pertempuran tercetus selepas penduduk kem itu melihat tentera Israel keluar dari trak perabot berhampiran sebuah rumah di atas bukit yang menghadap ke tengah kem yang luas dan pejuang segera melepaskan tembakan.
Tambah laporan BH lagi, dalam pertempuran bersenjata berikutnya, tentera Israel mengepung sebuah rumah di mana lelaki yang disyaki bersenjata bersama pejuang lain berlindung dan menembak peluru berpandu ke arah bangunan itu, menurut kenyataan daripada tentera.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, enam rakyat Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 16 cedera manakala seorang anggota polis Israel cedera dan tiga cedera ringan.
Tentera mengenal pasti seorang lelaki bersenjata anggota Hamas itu sebagai Abdel-Fattah Kharusha, yang dikatakan menembak mati dua warga Israel di dalam kereta di pusat pemeriksaan berhampiran perkampungan Palestin, Huwara di Tebing Barat yang diduduki pada 26 Februari lalu.
Dua anak lelakinya turut ditangkap dalam serbuan pada masa yang sama di bandar Nablus.
Menurut kenyataan Hamas dan Daesh, kesemua yang terbunuh adalah lelaki bersenjata dari kumpulan Hamas, Daesh dan Fatah.
“Kami menggesa pejuang rakyat untuk meningkatkan penentangan bersenjata terhadap pendudukan dan memerangi mereka di mana-mana di tanah rumah kami yang diduduki,” kata sayap bersenjata Hamas dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, berkata risiko ini bukan sahaja kepada Palestin dan Israel tetapi kepada rantau ini di mana situasi yang semakin meningkat di luar kawalan adalah penting.
Bagaimanapun, belum ada tanda-tanda keganasan dihentikan, menjelang Ramadan dan perayaan Paskah Yahudi.
Kelmarin, peneroka Israel menyerang penduduk Palestin di perkampungan Huwara di Tebing Barat, bagi menuntut balas terhadap insiden penembakan dua warga Israel, minggu lalu.
Huwara adalah perkampungan Palestin berhampiran persimpangan jalan utama di mana peneroka dan penduduk Palestin sering bertelagah dan menjadi titik pertempuran baharu selepas keganasan menjadi semakin teruk selama berbulan-bulan.
Tentera Israel dan pasukan polis sempadan menyuraikan orang ramai yang disifatkan oleh tentera sebagai ‘beberapa rusuhan ganas’ di Huwara.
Rakaman video menunjukkan askar Israel menari bersama-sama dengan peneroka Yahudi di bandar itu pada perayaan Yahudi Purim.
“Huwara sudah ditakluki, tuan-tuan!,” kedengaran satu suara dalam bahasa Ibrani.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, kelmarin mengulangi gesaannya supaya kedua-dua pihak meredakan ketegangan di Tebing Barat dan keganasan dijangka meningkat dengan kunjungan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, minggu ini.
Sama-sama doakan agar semua muslim di sana dilindungi Allah SWT dan keadilan buat mereka akan tercapai.