2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

TAUFAN BUREVI MENUJU SELATAN INDIA SELEPAS BADAI SRI LANKA

COLOMBO: Taufan Burevi yang membadai Sri Lanka kelmarin menggegarkan negara kepulauan itu, bagaimanapun tidak ada penduduk yang dilaporkan cedera.

Burevi, yang juga taufan kedua berlaku di bahagian selatan Teluk Benggala dalam masa seminggu itu membadai timur laut Sri Lanka tengah malam tadi dan kini sedang menuju ke selatan India.

Angin berkelajuan 100 kilometer (km) sejam itu bagaimanapun tidak menyebabkan kematian dan kerosakan yang dialami pula tidak sebesar yang dijangkakan sebelum ini.

Seorang wartawan tempatan yang dihubungi menerusi telefon, Mangalanath Liyanarachchi, berkata berlaku ribut dan angin kencang tetapi taufan itu tidak mengakibatkan kerosakan besar di kawasan kediaman.

Beliau menetap di Trincomalee yang terletak kira-kira 26 km dari Colombo.

Pusat kaji cuaca India meramalkan taufan itu akan melanda negeri di bahagian selatan India, Tamil Nadu mulai hari ini hingga esok dan bergerak ke arah barat, menuju ke Kerala.

Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India semalam sudah mengerahkan sekitar 12 pasukan bantuan dan penyelamat sebagai persediaan bagi sebarang kes kecemasan.

Ketua Menteri Kerala, Pinari Vijayan memaklumkan sekitar 2,500 kem bantuan telah dikenal pasti untuk memindahkan penduduk dari kawasan pesisir dan dataran rendah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam ciapan Twitternya berkata kerajaan persekutuan bersedia untuk menyediakan bantuan dan sokongan kepada penduduk yang terjejas.

“Marilah kita berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan penduduk yang berada di kawasan terjejas,” katanya.

Sri Lanka, India dan Bangladesh bergantung pada musim hujan untuk penjanaan tenaga dan sistem pengairan.

Bagaimanapun, hujan lebat dan ribut berlebihan menyebabkan ramai yang terkorban dan mengakibatkan kemusnahan harta benda setiap tahun.

Sumber: Berita Harian