2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-05-03 at 4.47.32 PM
Info Semasa

Tahanan Palestin mogok lapar meninggal dunia dalam penjara Israel

RAMALLAH: Seorang tahanan Palestin yang juga tokoh tertinggi dalam kumpulan Jihad Islam di Tebing Barat yang diduduki, meninggal dunia dalam tahanan hari ini selepas mogok lapar, kata Perkhidmatan Penjara Israel dan sumber kumpulan pejuang Palestin.

“Seorang tahanan keselamatan negara, disyaki ahli gabungan Jihad Islam, (yang) memulakan mogok lapar pada 5 Februari lalu meninggal dunia pagi ini,” kata pihak penjara dalam kenyataan.

Sementara itu, Berita Harian menyatakan sumber Jihad Islam memberitahu AFP, identiti tahanan yang meninggal dunia itu dikenal pasti sebagai Khader Adnan, 45, adalah seorang tokoh terkemuka dalam kumpulan itu di utara Tebing Barat.

“Perjuangan kami berterusan dan musuh akan menyedari sekali lagi bahawa jenayahnya tidak akan berlalu tanpa tindak balas.

“Penentangan akan diteruskan dengan segala kekuatan dan keazaman,” kata Jihad Islam Palestin dalam satu kenyataan.

Khader meninggal dunia di penjara Israel selepas hampir tiga bulan melakukan mogok lapar, kata pegawai penjara Israel.

Adnan ‘enggan menjalani pemeriksaan atau menerima rawatan perubatan, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam selnya awal pagi ini,” kata Perkhidmatan Penjara Israel.

Tambah Pihak Berkuasa Penjara Israel, dia dipindahkan ke hospital selepas usaha menyelamatkannya gagal dan disahkan meninggal dunia.

Sehubungan itu, peguam Adnan, Jamil Al-Khatib, menuduh Israel cuai dalam perubatan.

“Selepas 36 hari Adnan ditahan, kami menuntut dia dipindahkan ke hospital awam supaya dia boleh diberikan rawatan susulan dengan betul.

“Malangnya, Israel tidak melayani permintaan itu malah bersikap keras kepala selain penolakan daripada pihak berkuasa penjara Israel,” katanya kepada Reuters melalui telefon.

Tidak lama selepas kematian Adnan diumumkan, siren berbunyi di komuniti sempadan Gaza Israel, menyebabkan penduduk berlari mencari perlindungan.

Tentera Israel berkata, tiga roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke arah wilayah Israel, tetapi jatuh di kawasan terbuka.

Adnan, 45, berasal dari bandar Jenin yang diduduki, adalah tokoh Jihad Islam yang terkenal di Tebing Barat, yang ditawan oleh Israel dalam perang 1967.

Seperti pemimpin Hamas Islam, Jihad Islam menentang perjanjian damai antara Palestin dan Israel serta menyokong pemusnahan Israel.

Menurut Persatuan Banduan Palestin, Adnan ditahan oleh Israel sebanyak 12 kali, menghabiskan sekitar lapan tahun penjara, kebanyakannya di bawah tahanan pentadbiran.

Israel menuduh Adnan menyokong keganasan, bersekutu dengan kumpulan pengganas dan menghasut. Dia melakukan sekurang-kurangnya lima mogok lapar selama beberapa kali dalam tahanan sejak 2004.

Antaranya, termasuk mogok 55 hari pada 2015 untuk membantah penahanannya di bawah apa yang dipanggil tahanan pentadbiran, iaitu suspek boleh ditahan selama-lamanya oleh Israel tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Israel kini menahan lebih 1,000 tahanan Palestin tanpa tuduhan atau perbicaraan, jumlah tertinggi sejak 2003, menurut kumpulan hak asasi manusia Israel, HaMoked.

“Khader Adnan sebenarnya ‘dibunuh’ dengan kejam,” kata Persatuan Banduan WAED di Gaza kepada Reuters apabila diminta mengulas mengenai kematian Adnan.