2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

SUASANA DI RAKHINE TAK KONDUSIF: PBB

 

DHAKA, 25 JULAI – Dalam satu utusan khas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Myanmar, beliau memaklumkan keadaan di negeri Rakhine, Myanmar masih tidak kondusif untuk membawa pulang pelarian Rohingya.

 

Selepas lawatan 10 hari ke Myanmar, Christine Schraner Burgener telah membuat pemerhatian bersama Setiausaha Luar Bangladesh M Shahidul Haque di Dhaka pada Selasa lalu.

 

Burgener menyifatkan realiti di Rakhine sebagai “tidak memihak kepada langkah penghantaran pulang” dalam pertemuan dengan setiausaha luar itu.

 

Semasa lawatannya ke Rakhine, beliau bertemu para pegawai kerajaan Myanmar, kumpulan diplomatik, wakil badan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa serta pasukan PBB di Myanmar.

 

Burgener, bagaimanapun hanya melawat tempat-tempat yang dibenarkan kerajaan Myanmar dan mendapat akses terhad di negeri Rakhine.

 

Walau bagaimanapun, utusan PBB itu merancang untuk melawat kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh keeseokan hari.

 

Dalam perkembangan lain, Myanmar dijangka menghantar satu delegasi yang diketuai Setiausaha Luarnya, Myint Thu untuk melawat kem-kem di Cox’s Bazar minggu depan.

 

Untuk rekod, Rohingya disifatkan PBB sebagai etnik paling teraniaya di dunia telah berdepan kebimbangan diserang selepas berpuluh-puluh orang terbunuh dalam keganasan komunal pada 2012.

 

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar menyerang komuniti minoriti Islam itu Ogos 2017, yang menyaksikan jumlah orang teraniaya mencari perlindungan di Bangladesh melebihi 1.2 juta orang.

 

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 umat Islam Rohingya telah dibunuh oleh pasukan tentera kerajaan Myanmar, menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).

 

Manakala lebih 34,000 orang Rohingya turut dibakar dan lebih 114,000 lagi telah dibelasah seperti yang dinyatakan dalam laporan OIDA yang bertajuk “Forced Migration of Rohingya: The Untold Experience.”

 

Terdahulu, kira-kira 18,000 wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya telah dirogol oleh tentera serta polis Myanmar manakala lebih 115,000 kediaman etnik Rohingya dibakar dan 113,000 lagi dirosakkan.

 

#PeaceForArakan

 

Sumber: Sinar Harian