2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-21 at 11.37.28 AM
Uncategorized

Situasi kebuluran di Palestin meruncing, menyayat hati

Situasi kebuluran di Palestin ketika ini terus meruncing dengan bantuan makanan yang berjaya masuk terlalu sedikit berbanding kuantiti yang diperlukan.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, kumpulan yang paling terjejas ialah kanak-kanak dan warga emas.

Menurut laporan Sinar Harian, situasi di Gaza sangat menyedihkan. Orang dewasa mungkin boleh mencari kaedah sendiri untuk kelangsungan hidup, tetapi kita lihat kanak-kanak dan orang tua sangat menyayat hati. Bekalan makanan mereka meruncing.

“Mereka tidak minta banyak, hanya sedikit roti dan seteguk air. Hatta itu pun susah,” katanya

Menurut Ahmad Faizal, ketika ini beberapa trak yang menghantar bantuan makanan berjaya masuk ke Gaza.

Namun, situasi orang ramai menyerbu trak terbabit telah menyukarkan usaha menyampaikan makanan kepada lebih ramai penduduk Palestin.

“Kita dapat laporan setiap hari bahawa ada trak yang menyediakan makanan berjaya masuk dengan penyelarasan bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Koordinator Aktiviti Pentadbiran Wilayah Diduduki (COGAT).

“Tetapi disebabkan keadaan kebuluran yang sangat teruk, berlaku perebutan ketika trak-trak ini mengedarkan makanan. Ini sangat sedih. Apabila situasi itu berlaku, maka terjadi juga insiden makanan jatuh, tumpah, barangan koyak dan sebagainya.

“Selain daripada itu, beberapa kali dalam dua minggu lepas tentera tanpa segan-silu melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang berkumpul di sekeliling trak bantuan makanan,” ujarnya.

Serangan terhadap hospital tidak boleh diterima – Mercy Malaysia

Serangan berterusan rejim Zionis ke atas hospital-hospital di Gaza tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat antarabangsa, terutama dalam kalangan komuniti perubatan.

Ahmad Faizal berkata, tindakan Israel itu jelas merupakan pelanggaran terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Perang ke atas Gaza ketika ini merupakan penanda aras yang sangat tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa, khususnya bagi komuniti perubatan dan kesihatan.

“Ini kerana terlalu banyak hospital dan pusat kesihatan yang diserang tanpa justifikasi. Dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa, adalah sangat jelas bahawa, hospital, pusat perubatan dan pusat rawatan tidak sepatutnya diganggu atau diserang ketika waktu perang.

“Walaupun ada askar lawan dalam hospital terbabit, tidak boleh diserang fasiliti tersebut secara besar-besaran. Apatah lagi jika sememangnya tidak ada askar lawan di situ,” katanya.

Jelas Ahmad Faizal, sekitar 1.9 juta warga Palestin ketika ini berada di Rafah dan daripada jumlah itu, 300,000 orang merupakan penduduk asal bandar itu.

Selebihnya ialah mereka yang berpindah dari utara Gaza ke bahagian selatan.

“Kini, separuh daripada populasi itu menumpang di rumah-rumah yang ada di Rafah. Manakala separuh lagi, tinggal di khemah-khemah yang didirikan. Keadaan sangat daif.

“Sebelum ini, sebahagian daripada mereka sudah berpindah dari Beit Lahia dan sebagainya di utara Gaza, ke Khan Younis yang dianggap selamat.

“Kini, dari Khan Younis berpindah lagi ke Rafah. Keadaan penempatan memang sangat teruk. Jika berlaku pengeboman ke atas Rafah, lebih sejuta rakyat Palestin akan bergerak tanpa tempat berteduh,” ujarnya.

Menurut Ahmad Faizal, bantuan kemanusiaan dalam bentuk makanan sedang diusahakan untuk dibawa masuk ke Rafah, meskipun dalam jumlah yang tidak mencukupi akibat birokrasi Israel.

Namun, beliau berharap ia mampu meringankan sedikit sebanyak penderitaan serta kebuluran yang ditanggung rakyat Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak.