SINLAKU AKIBATKAN LEBIH 2,000 KELUARGA HILANG TEMPAT TINGGAL
BANGKOK – Lebih 2,000 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas ribut tropika Sinlaku melanda wilayah utara dan timur laut di Thailand.
Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, dalam satu kenyataan berkata, Sinlaku membawa angin kencang dan hujan lebat – memusnahkan kira-kira 1,400 rumah dan merosakkan jalan raya di 10 wilayah di wilayah utara dan timur laut Thailand.
Menurutnya, wilayah yang dilanda banjir teruk termasuk Nan, Uttaradit, Lampang, Phayao, Chiang Mai dan Chiang Rai di Utara, dan Loei, Nong Bua Lamphu, Udon Thani dan Nakhon Phanom di Timur Laut.
Laporan itu mengatakan, angin ribut melanda lapan wilayah – dua di timur laut dan enam di selatan, dan merosakkan 672 rumah dan sebuah sekolah.
Ia juga berkata, dua orang mati – satu di Phuket dan satu di Nakhon Si Thammarat – akibat pokok tumbang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran cuaca dan mengatakan Sinlaku dijangka membawa hujan lebat ke sekurang-kurangnya 44 wilayah di negara itu, sebahagian besar di wilayah utara dan timur laut, hingga Selasa.
Ribut itu beransur-ansur bergerak ke arah barat menuju Myanmar mulai hari ini, kata jabatan itu.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, Chayapol Thitisak, berkata keadaan banjir di utara dan timur laut bertambah baik.
“Beberapa jalan rosak terutama di utara kerana tanah runtuh dan banjir kilat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sumber: Berita Harian