55932350_2132571720129413_5909098086956793856_n
Info SemasaKenyataan Media

SINGAPURA LARANG EDARAN BUKU MENGHINA AGAMA

SINGAPURA: Sebuah buku dilarang diedarkan di republik ini kerana kandungannya menghina agama, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Josephine Teo.

Buku bertajuk ‘Red Lines: Political Cartoons and the Struggle Against Censorship’, yang ditulis Dr Cherian George dan Sonny Liew, dilarang diedarkan di sini November lalu, sekitar tiga bulan selepas ia dilancarkan di Amerika Syarikat (AS).

Josephine menjelaskan di Parlimen Singapura bahawa unsur kartun politik dalam buku itu tidak memainkan peranan dalam keputusan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) melarangnya, lapor Berita Harian Singapura.

“Jelas sekali ‘Red Lines: Political Cartoons and the Struggle Against Censorship’ tidak dibenarkan diedarkan di sini disebabkan kandungannya yang menghina agama,” katanya.

Beliau berkata enam penerbitan selain buku itu turut dipertikai IMDA sepanjang lima tahun lalu lalu kerana merendahkan agama pelbagai masyarakat di Singapura.

Jelasnya lagi, kesemua buku berkenaan tidak mempunyai unsur politik, namun kandungannya menghina agama lain atau menyokong ajaran agama yang polemik, sekali gus menimbulkan rasa benci dalam kalangan masyarakat berlainan agama.

Katanya, buku ‘Red Lines: Political Cartoons and the Struggle Against Censorship’ dilarang atas sebab sama.

“Langkah mengeluarkan kandungan yang menghina itu tidak bermakna penerbitan itu akan dibenarkan diedarkan secara automatik.

“Versi yang disemak harus dinilai semula secara menyeluruh, namun tiada penerbit tampil melakukan demikian,” katanya.

Pada masa sama, orang ramai digesa melaporkan keprihatinan mereka kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sekiranya merasakan penerbitan atau imej boleh menghina golongan tertentu.

Malah, IMDA turut mendapatkan pandangan MUIS dalam membuat keputusan berhubung buku ‘Red Lines: Political Cartoons and the Struggle Against Censorship’ dan akan terus mendapatkan pandangan MUIS berhubung kandungan berkaitan Islam.

Hingga kini, pengedar Singapura buku itu, Alkem Company atau penulisnya belum mengesahkan rancangan khusus mereka berhubung kandungan bersifat menghina itu.

Jika sabit kesalahan, mereka yang mengimport, menjual, mengedar, menghasilkan atau menerbitkan semula penerbitan bersifat menghina boleh didenda hingga $5,000, (RM15,500) dipenjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata buku ‘Red Lines: Political Cartoons and the Struggle Against Censorship’ patut dilarang pengedarannya.

“Malah, MUIS turut menyokong klasifikasi IMDA bagi buku mengandungi bahan yang boleh mencetuskan diskriminasi terhadap golongan Islam, menghina Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW serta merendahkan agama Islam.

“Buku ini ditolak IMDA di bawah Akta Penerbitan Tidak Diingini (UPA) kerana mengandungi imej menghina beberapa agama serta tokoh agama termasuk beberapa lukisan kartun Nabi Muhammad SAW.

“Penerbitan karikatur dan imej yang jelas menghina Nabi mahupun agama lain tidak boleh diterima walaupun atas nama kebebasan bersuara, akademia dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Masagos turut menggesa umat Islam Singapura kekal dibimbing prinsip belas kasihan serta baik budi dan hati meskipun mereka sewajarnya rasa marah dengan tindakan menghina agama dan Nabi Muhammad SAW. 

Sumber: BH