2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

POLIS MUSNAHKAN RUMAH PENDUDUK PALESTIN

BAITULMAQDIS: Polis Israel memusnahkan rumah keluarga Palestin di timur bandar ini, iaitu kawasan sensitif Sheikh Jarrah, pada Rabu lalu, kata jurugambar AFP.

Beberapa keluarga di kejiranan itu yang dihalau May tahun lalu mengakibatkan perang 11 hari di antara Israel dengan kumpulan serpihan Palestin di Gaza.

Sebelum subuh, polis Israel menyerbu rumah keluarga Salhiya, yang diugut untuk dihalau sejak 2017, kes yang menjadi kemuncak kemarahan kempen antipengusiran.

Tidak lama kemudian, rumah itu dirobohkan jentera.

“Polis Israel menyelesaikan pelaksanaan perintah pengusiran bangunan haram yang dibina di atas kawasan yang ditetapkan untuk sekolah kanak-kanak berkeperluan khas di timur Baitulmaqdis,” menurut kenyataan polis.

“Ahli keluarga yang tinggal di bangunan haram itu diminta diberi peluang untuk tidak terlalu berkira dan menyerahkan tanah itu dengan persetujuan”.

Jurucakap polis memberitahu AFP, 18 ahli keluarga dan penyokong mereka ditahan ketika operasi itu kerana melanggar perintah mahkamah, bertindak ganas dan mengganggu ketenteraman awam, tetapi tiada pertempuran berlaku semasa kejadian.

Keluarga Salhiya menghadapi ancaman pengusiran dari rumah mereka di kejiranan Sheikh Jarrah di Selepas Baitulmaqdis timur diduduki Israel sejak 2017, tanah tempat kediaman mereka dikhaskan untuk pembinaan sekolah.

Apabila polis tiba untuk melaksanakan perintah pengusiran pada hari Isnin lalu, ahli keluarga Salhiya naik ke bumbung bangunan dengan tong gas, mengugut untuk membakar diri mereka bersama tong gas, jika mereka dipaksa keluar dari rumah mereka.

Delegasi diplomat Eropah yang turut melawat tapak itu, Ketua Misi Kesatuan Eropah ke Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, Sven Kuehn von Burgsdorff, memberitahu AFP, tindakan mengusir penduduk di wilayah yang diduduki itu melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Kenyataan itu menyebabkan polis berundur.

Kelmarin, Timbalan Datuk Bandar Baitulmaqdis, Fleur Hassan-Nahoum, berkata lot kediaman yang didakwa milik keluarga Salhiya itu sebenarnya dimiliki orang perseorangan Palestin yang kemudian dijualnya kepada pihak berkuasa bandar itu, dikhaskan untuk dibina bilik darjah untuk kanak-kanak Palestin berkeperluan khas.

Katanya, beliau sangat kecewa dengan tindakan diplomat Eropah dalam menghadapi sesuatu yang menjadi isu perbandaran, isu bangunan dan perancangan serta mengaitkannya dengan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Beratus-ratus rakyat Palestin diusir dari kediaman mereka di Sheikh Jarrah dan kejiranan di Baitulmaqdis timur, kawasan sekitar diancam pengusiran dengan sebab yang berbeza-beza.

Dalam beberapa kes, orang Yahudi Israel membuat tuntutan undang-undang untuk pengambilan secara haram, ketika perang yang menyebabkan pembentukan wilayah Israel pada tahun 1948.

Penduduk Palestin berkata, rumah mereka dibeli secara sah daripada pihak berkuasa Jordan yang mengawal Baitulmaqdis timur di antara 1948 dan 1967.

Israel menawan Baitulmaqdis timur dalam Perang Enam Hari 1967, namun penaklukan itu tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Lebih 200,000 peneroka Yahudi berpindah ke sektor timur bandar itu, mencetuskan ketegangan dengan rakyat Palestin, yang mendakwanya sebagai ibu negara masa depan mereka.

Sumber: BH