2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
25a48947-1396-4d51-996e-b34fb4172956.jpg
Info Semasa

Serantau Muslim bantu mangsa banjir

Minggu lalu, Serantau Muslim yang prihatin dengan kejadian banjir di Pantai Timur bertindak menyerahkan bantuan kecemasan bencana pada mangsa banjir di Kampung Gual Mase Pasir Mas.

Bantuan berbentuk barangan keperluan asas yang rosak ditenggelami air pada kejadian sejak Jumaat lalu diserahkan kepada 10 penduduk yang terjejas dan banyak kehilangan harta benda masing masing.

Antara barangan yang diserahkan termasuk tilam, kain batik, kain pelekat dapur gas dan peralatan kebersihan diri seperti sabun, ubat gigi, shampoo serta tuala wanita.

Misi kemanusiaan bantuan kecemasan bencana Serantau Muslim itu turut dibantu oleh Skuad Kebajikan Bomba Kelantan dan mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan.

Selain menyerahkan bantuan, Serantau Muslim bersama sama anggota bomba serta gabungan NGO membantu membersihkan rumah penduduk, masjid dan surau di tiga buah kampung dalam daerah Pasir Mas.

Penyelaras Bantuan Bencana Serantau Muslim Idzham Hadi Sidik yang membuat tinjauan banjir sejak Rabu lalu di Kelantan menjelaskan kejadian banjir kali ini tidak menyeluruh seperti yang berlaku pada 2014, ia hanya membabitkan kawasan Pasir Mas, Tumpat, Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang.

Bagaimanapun ada tempat yang dilanda banjir kali ini dilihat lebih teruk dari bencana 2014 selain ada kawasan yang tidak pernah dinaiki air bah, kali ini mengalaminya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan PPjB Jainal@Zainal Madasin berterima kasih kepada semua NGO yang terlibat dalam menyalurkan bantuan bencana.

Katanya, bantuan daripada Serantau Muslim dan Skuad Kebajikan Bomba Kelantan amat dihargai dan dialu alukan.

“Saya berterima kasih kepada Serantau Muslim kerana berusaha membantu menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir, ” katanya.