SERANGAN GANAS ISRAEL KE ATAS GAZA BERTERUSAN
GAZA: Penduduk Gaza hari ini terus diselubungi ketakutan untuk berada di dalam rumah ekoran serangan bertubi-tubi jet Israel yang mengorbankan lebih 200 mangsa, setakat ini.
Serangan beberapa minit sebelum subuh itu menyaksikan kawasan pesisiran pantai Palestin yang dikuasai pejuang Hamas dihujani peluru berpandu, roket dan bedilan artileri.
Serangan tidak mengenal sasaran itu menyebabkan penduduk Palestin tidak keruan kerana nyawa terus terancam biarpun berada di rumah.
Pihak berkuasa tempatan berkata, api marak ketika letupan kuat menggegarkan Gaza, mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan ratusan bangunan musnah.
Sebanyak 3,200 roket dibedil pejuang Palestin ke Israel sejak konflik memuncak, pada 10 Mei lalu, dalam pertempuran paling teruk sejak beberapa tahun lalu, dipacu rusuhan di Baitulmaqdis.
Wartawan AFP di Gaza pagi tadi, melihat kepulan asap tebal dari kilang tilam, ketika anggota pertahanan awam menyasarkan hos air tekanan tinggi ke lokasi kebakaran.
Kemudian, kepulan debu dilihat di pelabuhan Mediterania Gaza susulan letupan berikutnya dengan tentera Israel mengesahkan mereka menyasarkan ‘senjata tentera laut Hamas’.
Penduduk Gaza Barat, Mahdi Abed Rabbo, 39, mengakui ‘ngeri dan ketakutan’ susulan ketegangan serangan itu, selain menegaskan: “Tidak pernah berlaku serangan sebesar ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk Gaza, Mani Qazaat, berkata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, perlu sedar bahawa penduduk adalah orang awam dan bukannya pejuang.
“Saya rasa seolah-olah akan mati,” katanya menyingkap detik cemas ketika serangan terbabit.
Ia turut memusnahkan infrastruktur penting, dengan pihak berkuasa elektrik hari ini, memberi amaran baki bahan api untuk menghasilkan tenaga hanya mampu bertahan beberapa hari lagi.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata pihaknya sedang cuba berusaha dari belakang tabir dan meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangguhkan resolusi berkaitan konflik Israel-Palestin.
Utusan AS bagi Urusan Israel-Palestin, Hady Amr, tiba di Ramallah hari ini untuk bertemu Presiden Palestin, Mahmud Abbas, yang mendesak Washington bertindak menentang ‘pencerobohan Israel’ lapor agensi berita rasmi Wafa.
Sumber: Berita Harian