Aktiviti SMInfo SemasaKenyataan Media

Saya Sangka Sudah Kiamat!! – Mangsa Palu

Saya Sangka Sudah Kiamat !!! – Mangsa Palu

Oleh Wartawan SERANTAU MUSLIM

PALU: Tragedi di Palu, Indonesia yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa serta menjejaskan ratusan ribu orang merupakan antara bencana alam paling dahsyat yang pernah berlaku.

Bermula daripada gempa bumi seterusnya melahirkan tsunami besar dan akhirnya muncul likuifaksi yang menelan nyawa manusia.

Tragedi ini pastinya menjadi igauan buat rakyat Indonesia khususnya di daerah Palu yang telah menghadapi ujian dan dugaan berganda.

Menurut seorang mangsa, Budi Hariyanto, beliau menyifatkan kejadian yang mengorbankan empat orang anaknya itu sebagai kiamat kerana semuanya berlaku sekelip mata tanpa sempat beliau melakukan sesuatu.

“Kejadian yang berlaku di depan mata saya seolah sudah kiamat dan tiada lagi yang mampu di buat ketika itu.

“Cucu saya badan dan kepalanya terpisah dan saya sendiri mengeluarkannya selepas bencana”, kata beliau sambil menangis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa misi bantuan susulan kepada mangsa gempa bumi, tsunami dan likuifaksi yang menimpa penduduk Palu pada 19 sehingga 22 Januari 2019.

Misi tersebut telah dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ibnu Qayyim Malaysia (IQ Malaysia) dan disertai oleh tujuh orang dengan diketuai Pengurus Besar Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor.

Sejumlah RM 130,000 hasil sumbangan korporat dan derma orang ramai telah disampaikan dalam misi ini berupa bantuan pek makanan, pek kesihatan serta pembinaan tiga buah masjid dan pusat komuniti.

Bantuan diagihkan ke kawasan yang sukar untuk menerima bantuan dan jauh dari bandar, salah satu tempat yang dibantu adalah di Sigi dan Dongala di mana ia merupakan salah satu tempat perlindungan mangsa tsunami yang sangat memerlukan bantuan pada waktu ini.

Mohd Hakim yang ditemui semasa misi berkata, misi tersebut amat penting untuk dilaksanakan sebagai tanda prihatin dan simpati kita kepada rakyat Palu yang ditimpa musibah yang cukup dahsyat.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada seluruh penyumbang terutamanya kepada pihak Sinar Harian, IQ Malaysia yang bekerjasama dengan Serantau Muslim untuk mengumpul dana dari orang ramai.

“Kami masih lagi membuka peluang orang ramai untuk menderma melalui portal bantuankecemasan.com ataupun boleh masukkan teruskan dana ke akaun Maybank Serantau Muslim iaitu 5641-0042-1083,” jelasnya.

Tragedi Palu yang berlaku pada 28 September 2018 itu telah mencatat angka korban mencecah puluhan ribu orang serta menjejaskan ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda akibat bencana tsunami, likuifaksi dan gempa bumi.

Serantau Muslim mengajak semua rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib saudara serumpun ini, bagi yang ingin membantu mereka layari airmatasulawesi.com atau hubungi di talian 010-86599407.