2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

Kenyataan Media 22 Januari 2019

PELARIAN ROHINGYA HADAPI PENOLAKAN DARIPADA DUA NEGARA, INDIA DAN BANGLADESH

SERANTAU MUSLIM melihat keadaan etnik Rohingya di India semakin terumbang-ambing berikutan keenganan India menerima mereka di negara tersebut sejak akhir 2018 lalu. Keengganan India menerima pelarian ini dilihat terjadi selepas penganut agama Hindu menggesa pengusiran besar-besaran etnik Rohingya untuk kembali ke Myanmar walaupun keadaan di Myanmar masih belum reda dengan diskriminasi kaum dan agama.

Sebelum ini, India telah bertindak menghantar pulang minoriti Islam Rohingya secara paksa ke Myanmar dan dilihat mereka berdepan dengan kritikan tegas daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi.

Di Bangladesh pula, keadaan yang sememangnya sesak dengan pelarian Rohingya sebelum ini telah menyebabkan negara tersebut terpaksa membekukan kemasukan lebih ramai lagi pelarian Rohingya ke sana. Hal ini diperakui sendiri oleh Menteri Luar Negeri Bangladesh AH Mahmood Ali sebelum ini yang menyifatkan negaranya mengalami kesulitan menangani krisis ini dan ia menimbulkan kekangan untuk menyediakan tempat bagi menampung kira-kira 1 juta pelarian di sana.

Dalam keengganan kedua-dua pihak India dan Bangladesh menerima pelarian Islam Rohingya ini, kini, seramai 31 orang pelarian Islam Rohingya termasuk 17 orang kanak-kanak terkandas di sempadan India-Bangladesh dan mereka terpaksa di tempatkan di khemah yang disediakan pasukan sempadan India yang mana ia berada di garisan sifar sempadan.

SERANTAU MUSLIM melihat keadaan ini amat rumit untuk dihadapi oleh muslim minoriti ini lebih-lebih lagi kanak-kanak yang masih kecil.

Walaupun wujud perbincangan di peringkat atasan antara pegawai kanan India dan Bangladesh yang mana pihak kerajaan India harus menerima pelarian tersebut kerana mereka memiliki kad kesihatan India dan dokumen daripada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (UNHCR), namun SERANTAU MUSLIM masih kurang yakin yang India akan menerima pelarian Rohingya tersebut kerana faktor perbezaan agama. Difahamkan majoriti penduduk India adalah penganut agama Hindu iaitu sebanyak 79.8% berbanding lain-lain agama.

Oleh hal demikian, SERANTAU MUSLIM merasakan perlunya usaha membantu minoriti Islam Rohingya ini daripada terus dihimpit krisis kemanusiaan dengan menyediakan sebuah tempat untuk mereka diami dengan aman tanpa gangguan pihak luar.

SERANTAU MUSLIM berharap PBB dan pihak berwajib yang lain dapat bersama-sama dalam menangani isu ini daripada terus parah. Myanmar juga seharusnya lebih bersifat terbuka dan bertoleransi dalam isu perkauman dan agama ini kerana pelarian-pelarian ini merupakan sebahagian penduduk asal negara mereka.

Dalam masa yang sama, walaupun SERANTAU MUSLIM merasakan negara India, Bangladesh masing-masing ada alasan tersendiri untuk menolak pelarian Rohingya ini, namun diharapkan kedua-dua negara ini dapat melindungi pelarian ini untuk sementara waktu sehingga segala masalah berkaitan dapat diselesaikan dengan aman.

Justeru itu juga, SERANTAU MUSLIM ingin mengalu-alukan orang ramai menyumbang kepada minoriti Islam Rohingya ini dengan melayari www.untukmurohingya.com.

‘Persaudaraan Rentas Sempadan’

Ustaz Mohd. Hakim bin Mohd. Nor
Pengurus Besar,
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim.