WhatsApp Image 2024-01-16 at 10.00.07 AM
Uncategorized @ms

‘Saya diugut untuk dirogol, dipukul dan diancam keluarga dibunuh’ – tahanan Israel

Seorang wanita Palestin yang juga wartawan berkongsi mengenai kisah penderitaannya kepada Al Jazeera sewaktu ditahan di dalam penjara Israel pada tahun lalu.

Menurut laporan Utusan yang memetik info dari Al Jazzera, Lama Khater, 47 dipenjara selama sebulan dan dijadikan tebusan oleh tentera Israel selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Ibu kepada lima anak itu berkata, layanan tentera Israel terhadap dirinya adalah lebih dahsyat berbanding pengalaman dirinya yang pernah ditahan di penjara selama 13 bulan sebelum ini.

Semasa sesi pertama disoal siasat, kata Lama, pegawai Israel secara terang-terangan mengancamnya dengan rogol.

Lama menyatakan Israel juga mengancam untuk membunuhnya, keluarganya, membakar rumahnya. Dia turut dipukul dengan teruk.

Tambahnya, tentera Israel juga mengancam untuk menghantarnya ke Gaza dan memberitahunya bahawa dia adalah tawanan perang dan mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu.

Dari situ, Lama dipindahkan selama empat hari ke Penjara Hasharon, di mana dia ditahan bersama lima wanita Palestin lain di dalam sel kecil yang dibina untuk seorang banduan dan sangat kotor.

Mereka juga tidak mempunyai akses kepada air untuk membersihkan sel itu, tambahnya, sambil menjelaskan bahawa bekalan air mereka terputus selama lapan jam sehari.

Bercerita sewaktu ditahan tentera Israel, Lama memberitahu, dia sendiri tidak mengetahui apa kesalahan yang dilakukannya.

Selepas tentera Israel menyerbu rumahnya di Hebron dan menangkapnya, dia dipindahkan dari satu pusat tahanan ke pusat tahanan yang lain, tidak pasti dengan apa yang dia didakwa atau apa yang akan berlaku kepadanya seterusnya.

“Digari dengan ikatan plastik berzip, sangat menyakitkan di pergelangan tangan, saya dihumban ke lantai jip tentera dan dibawa ke kem penempatan Kiryat Arba,” ujarnya.

Ketika dipenjara, dia tidak dapat melihat wajah suaminya Hazem al-Fakhouri atau lima anaknya yang ketakutan iaitu Osama, 26, Bissan, 23, Yaman, 18, Izz al-Din, 15, dan Yahya, 7 tahun. – ketika dia dihalau.

Lama adalah sebahagian daripada kumpulan keenam tawanan Palestin yang dibebaskan Israel sebagai pertukaran untuk tawanan Israel yang dibebaskan dari Gaza oleh Hamas.-Al Jazeera