2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

RUMAH TERBAKAR LIMA PENGHUNI SELAMAT

PONTIAN: Lima penghuni terselamat selepas rumah yang didiami mereka musnah akibat kebakaran di Jalan Sangkar 2 Kecil, Kampung Parit Baran Ayer Baloi, di sini, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Azhar Abdul Jalil, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 malam.

Katanya, pihaknya menggunakan dua jentera bersama tujuh anggota dengan dibantu 10 anggota dari BBP Pontian Baru yang diketuai Komander Operasi Mahadir Mamat serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Benut.

Azhar berkata, kebakaran itu membabitkan sebuah rumah kediaman struktur separuh kekal berkeluasan 80 panjang dan 50 lebar.

“Terdapat lima penghuni ketika kejadian dan mereka terselamat, manakala kediaman terbabit musnah terbakar 90 peratus.

“Operasi tamat pada jam 8. 53 malam, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan, ” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, seorang penghuni rumah berkenaan Alazri Abdullah, 16, dihubungi berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang solat Mahgrib berjemaah.

“Ketika takbir rakaat kedua, pelbagai bunyi kuat kedengaran diikuti bau hangit daripada asap yang menyelubungi ruang kediaman.

“Kami serentak keluar dari rumah kerana api menjulang dari pelbagai arah. Alhamdulillah, semua ahli keluarga terselamat, namun semua barangan isi dalam rumah musnah dalam kebakaran, ” kata anak bungsu dari lima beradik itu.

Sumber: Berita Harian