2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

RATUSAN RAKYAT JORDAN BANTAH PERJANJIAN AIR-TENAGA ELEKTRIK DENGAN ISRAEL

AMMAN: Ratusan rakyat Jordan dilaporkan berkumpul di sekitar Amman bagi menyuarakan bantahan terhadap perjanjian air-tenaga elektrik yang dimeterai negara itu dengan Israel.

Rakyat Jordan seboleh-bolehnya tidak mahu negaranya menormalisasi hubungan dengan rejim zionis.

Lapor Al Jazeera, para penunjuk perasaan membantah dengan menegaskan perjanjian itu bergerak ke arah normalisasi hubungan dengan Israel ketika rejim itu masih terus menjajah wilayah Palestin.    

Malah, beberapa pihak turut memberi amaran bahawa perjanjian tersebut akan memaksa Jordan bergantung sepenuhnya terhadap Israel. 

“Kami mempunyai hak untuk hidup. Penduduk Palestin juga memiliki hak demikian.

“Kami rakyat Jordan menyokong Palestin dan mengambil berat mengenai masa depan negara ini. Sebab itu kami menyertai protes ini,” kata seorang penunjuk perasaan kepada Al Jazeera.

Sekiranya perjanjian itu dilaksanakan, maka ia akan menjadi salah satu projek kerjasama paling besar sejak negara berkenaan menandatangani perjanjian damai 27 tahun lalu.

Di bawah perjanjian itu, Jordan akan menerima sebanyak 200 juta meter padu penyahgaraman air dari Israel, sebagai pertukaran bagi 600 megawatt tenaga elektrik dijana dari loji tenaga solar yang dibiayai oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) di negara itu.     

Dilaporkan, satu dokumen berhubung projek itu ditandatangani antara menteri air Jordan, menteri tenaga Israel dan menteri perubahan iklim UAE sambil disaksikan oleh Utusan Khas Iklim AS, John Kerry pada Isnin lalu.

Sementara itu, seorang ahli Parlimen di Jordan, Saleh al-Armouti mengecam perjanjian itu dengan menegaskan beliau tidak mempercayai Israel.

“Sekiranya Israel menandatangani perjanjian, biasanya mereka tidak melakukan apa yang dijanjikan,” katanya. 

Sumber: Utusan