2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

RAKYAT YAMAN PERLU KEADILAN JENAYAH PERANG, PENDERAAN – NGO

NEW YORK: Lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memastikan jenayah perang dan pencabulan hak asasi manusia dalam konflik Yaman didokumenkan dan disiasat bagi menjamin akauntabiliti.

Kumpulan itu termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch menggesa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bergerak pantas dan mewujudkan mekanisme akauntabiliti antarabangsa baharu untuk Yaman dalam mengumpul dan memelihara bukti jenayah perang dan pencabulan hak asasi.

“Penderitaan orang awam menuntut langkah seumpama ini dilakukan bagi menangani tindakan pengecualian daripada hukuman (impunity) dan memberi amaran jelas kepada pelaku bahawa mereka akan bertanggungjawab.

“Rakyat Yaman memerlukan keadilan. Dan keadilan bermula dengan penyiasatan dan akauntabiliti. Masa untuk bertindak sekarang,” menurut kenyataan bersama kumpulan itu kepada 193 negara anggota PBB.

Menurut kumpulan itu, terdapat kes duluan bagi mekanisme sedemikian dalam langkah PBB mendokumentasikan dan menganalisis jenayah perang dan pencabulan hak dalam konflik Syria dan terhadap Muslim Rohingya di Myanmar.

Mekanisme itu juga akan mengisi kekosongan ditinggalkan akibat pembubaran panel pakar PBB pada Oktober yang mendokumentasikan dan melaporkan jenayah oleh semua pihak di Yaman yang ditubuhkan pada 2017 oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, kata kumpulan itu.

Kerajaan Yaman yang disokong oleh gabungan tentera diketuai Arab Saudi dan pemberontak Huthi yang bersekutu dengan Iran terbabit dalam konflik sejak 2014 mengakibatkan krisis kemanusiaan yang disifatkan PBB sebagai terburuk di dunia.

Jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal sejak pertempuran meletus dan lebih 80 peratus daripada kira-kira 30 juta penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan.

Minggu lalu, PBB menganggarkan 377,000 orang maut menjelang akhir 2021 akibat kesan langsung dan tidak langsung perang Yaman.

Sumber: Berita Harian