2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-10-06 at 12.36.51 PM
Info Semasa

Puluhan juta kanak-kanak hilang tempat tinggal akibat bencana iklim – UNICEF

NEW YORK: Bencana cuaca yang didorong perubahan iklim, daripada banjir hingga kemarau, ribut hingga kebakaran hutan menyebabkan 43.1 juta kanak-kanak hilang tempat tinggal dalam tempoh 2016 hingga 2021.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) semalam memberi amaran mengenai isu berkenaan dan mengecam kurangnya perhatian diberikan kepada mangsa, lapor Berita Harian.

Dalam laporan menyeluruh mengenai isu itu, agensi PBB memperincikan kisah menyayat hati beberapa kanak-kanak yang terjejas, dan data itu hanya mendedahkan sebahagian kecil daripada situasi sebenar.

Dari 2016 hingga 2021, empat jenis bencana iklim (banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan) – kekerapannya meningkat akibat pemanasan global – membawa kepada 43.1 juta di 44 negara hilang tempat tinggal, kata laporan itu.

Sembilan puluh lima peratus daripada perpindahan itu disebabkan banjir dan ribut.

“Ia bersamaan dengan kira-kira 20,000 perpindahan kanak-kanak setiap hari,” Healy memberitahu AFP, menggariskan bagaimana kanak-kanak yang terjejas kemudiannya berisiko mengalami trauma lain, seperti dipisahkan daripada ibu bapa atau menjadi mangsa penyeludupan kanak-kanak.

“Kami memindahkan barang-barang ke lebuh raya, tempat kami tinggal selama berminggu-minggu,” kata kanak-kanak Sudan, Khalid Abdul Azim, yang kampungnya ditenggelami air dan hanya boleh diakses dengan bot.

Pada 2017, adik beradik Mia dan Maia Bravo menyaksikan api menyambar treler mereka di California dari belakang van mini keluarga.

“Saya takut, terkejut,” kata Maia dalam laporan itu. “Saya akan berjaga sepanjang malam.”

Banjir yang dikaitkan dengan limpahan sungai boleh mencetuskan 96 juta perpindahan kanak-kanak dalam tempoh 30 tahun akan datang, manakala angin siklon boleh memaksa 10.3 juta perpindahan, katanya. Bencana ribut boleh menyebabkan 7.2 juta perpindahan.

Bagi mereka yang terpaksa melarikan diri, ketakutan dan impak boleh menjadi sangat dahsyat, dengan kebimbangan sama ada mereka akan pulang ke rumah, menyambung semula sekolah, atau terpaksa berpindah lagi.

Bergerak mungkin telah menyelamatkan nyawa mereka, tetapi ia juga sangat mengganggu.

“Apabila kesan perubahan iklim meningkat, pergerakan yang didorong oleh iklim juga akan meningkat. Kami mempunyai alat dan pengetahuan untuk bertindak balas terhadap cabaran yang semakin meningkat untuk kanak-kanak ini, tetapi kami bertindak terlalu perlahan.”

Sehubungan itu UNICEF menggesa pemimpin dunia mengambil berat mengenai isu itu pada sidang kemuncak iklim COP28 di Dubai pada November dan Disember.

Healy berkata kanak-kanak, termasuk mereka yang sudah terpaksa berpindah mesti bersedia “untuk hidup dalam dunia perubahan iklim.”

China, India dan Filipina adalah negara yang mempunyai jumlah pemindahan terbesar (hampir 23 juta dalam tempoh enam tahun) kerana populasi yang besar dan lokasi geografi selain pelan pemindahan pencegahan.

Dari segi perkadaran, Afrika dan negara pulau kecil paling berisiko – di Dominica, 76 peratus daripada semua kanak-kanak telah dipindahkan dari 2016 hingga 2021. Bagi Cuba dan Saint-Martin, angka itu lebih daripada 30 peratus.