Program Kembara Prihatin Serantau Muslim bersama YB Datuk Mohd Noor Helmy di Masjid Al-Abrar Semabok dan Masjid Fathurrahman Pengkalan Rama
22 Nov 2024 – Serantau Muslim dengan kerjasama YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Timbalan EXCO Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka untuk kawasan Duyong, telah mengadakan program Kembara Prihatin di dua buah lokasi lagi iaitu Masjid Al-Abrar Semabok dan Masjid Fathurrahman Pengkalan Rama. Program ini telah melibatkan sebanyak 50 orang keluarga asnaf yang menerima bantuan dan sokongan.
Turut hadir dalam program ini adalah Kapten Bersekutu (PA) Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor, Pengerusi Serantau Muslim dan kakitangan-kakitangan Serantau Muslim. Kehadiran mereka menambah semarak kepada program ini dengan menunjukkan komitmen dan keprihatinan yang tinggi terhadap golongan asnaf.
Program Kembara Prihatin ini bertujuan untuk membantu meringankan beban keluarga asnaf melalui bantuan yang diberikan, selain memperkukuhkan ikatan kekeluargaan dan semangat kejiranan di kalangan masyarakat. Usaha ini juga menggambarkan komitmen Serantau Muslim dalam menggerakkan misi kemanusiaan dan kebajikan tanpa mengenal sempadan.
YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem turut menyampaikan rasa terima kasihnya kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, serta mengharapkan agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.