PKPI, SERANTAU MUSLIM SANTUNI MASYARAKAT SABAH YANG MEMERLUKAN DALAM MISI SAYANGI SABAH 1.0
TAWAU, Sabah: Kembara SM 1.0 Misi Sayangi Sabah diteruskan dengan penyerahan sumbangan berjumlah 20,000 di Tawau semalam, 8 Jan 2023.
Sumbangan dalam bentuk bakul makanan, jubah, kopiah dan wang tunai itu diserahkan bersama oleh Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) TNB, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) Ustaz Mohd Hakim Mohd Noor.
Majlis ringkas tapi penuh bermakna itu berlangsung di Dewan tertutup Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8 Tawau di sini.
Sumbangan pada hari kedua itu melibatkan penerima di kalangan asnaf PPR Batu 8, serta pelajar Madrasah Darussakinah Kg. Durian Merotai, Tawau.
Menurut Datuk Raja Abd Jalil, daerah Semporna dan Tawau kali ini terpilih untuk menerima sumbangan daripada keuntungan TNB berdasarkan maklumat dan data berkaitan asnaf serta komuniti yang sangat memerlukan bantuan bagi menampung keperluan hidup harian mereka
Katanya, keuntungan TNB daripada hasil perniagaan dikongsi bersama dan dipulangkan semula kepada rakyat yang terkesan seperti ini, mengalami kesempitan hidup.
“Alhamdulillah, program ini dapat dilaksanakan dengan baik hasil kerjasama daripada Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, dan sasaran bantuan menepati kehendak PKPI,” katanya kepada Media di Tawau.
Dalam pada itu, Ustaz Mohd Hakim berkata, amanah yang diberikan oleh PKPI, dapat disempurnakan dengan baik dan mereka yang layak menerima bantuan telah disantuni.
Katanya, misi Sayangi Sabah yang dilaksanakan itu adalah kesinambungan program-program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019.
“Program seperti ini akan diteruskan lagi, dan kami berharap lebih banyak syarikat korporat seperti TNB menghulurkan sumbangan supaya aktiviti kebajikan ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Program kali ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Semporna, Persatuan 4X4 Tawau serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).