2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-27 at 9.58.02 AM
Uncategorized

Pendudukan Israel di Palestin adalah ‘penghalang sebenar kepada keamanan’ – Turkiye

Negara-negara Arab semalam menggesa hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah haram, manakala Turkiye pula menyifatkan pendudukan itu sebagai ‘penghalang sebenar kepada keamanan.’

ICJ telah mendengar hujah daripada lebih 50 negara, berikutan permintaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2022 supaya satu pandangan tidak mengikat dikeluarkan berhubung kesan pendudukan Israel dari segi undang-undang, lapor Berita Harian.

Pada hari keenam yang juga hari terakhir prosiding pendengaran berkenaan, semalam, Timbalan Menteri Luar Turkiye, Ahmet Yildiz, memberitahu hakim bahawa pendudukan Israel itu merupakan ‘punca akar’ kepada konflik di rantau terbabit.

“Situasi yang berlaku selepas serangan pada 7 Oktober lalu sekali lagi membuktikan bahawa tanpa menangani ‘punca akar’ kepada konflik Israel-Palestin, keamanan tidak akan wujud di rantau itu,” katanya.

eliau sekali gus menegaskan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin adalah ‘penghalang sebenar kepada keamanan’, dan menggesa hakim untuk mengisytiharkannya sebagai haram.

Sementara itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit dalam satu kenyataan dibacakan di mahkamah terbabit oleh seorang wakil pula menyifatkan pendudukan Israel berkenaan sebagai ‘penghinaan terhadap keadilan antarabangsa.’

Sebahagian besar negara yang mengambil bahagian pada pendengaran di ICJ itu, telah meminta hakim untuk mengisytiharkan pendudukan Israel terbabit sebagai haram.

Pendengaran itu berakhir, semalam, dengan mahkamah memaklumkan bahawa satu tarikh akan ditetapkan kemudian untuk keputusannya.

Panel dibarisi 15 hakim terbabit dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mengeluarkan pandangan mereka yang tidak mengikat berhubung pendudukan itu.