2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
e246a299-dda4-47a5-a2d3-be3a2b1bfb41.jpg
Info Semasa

Penduduk Yahudi dilarang masuk ke Masjid Al-Aqsa hingga akhir Ramadan

BAITULMUQADDIS – Kerajaan Israel melarang penduduk Yahudi daripada memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa sehingga bulan Ramadan berakhir, lapor akhbar Arab News semalam.

Langkah itu diambil susulan tekanan berterusan yang diterima oleh Rejim Zionis sama ada di peringkat tempatan, serantau mahupun antarabangsa selepas beberapa pertempuran tercetus di Masjid Al-Aqsa.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Naftali Bennett membuat keputusan menutup pekarangan Masjid Al-Aqsa kepada penduduk Yahudi dari 22 April hingga 1 Mei ini. Sepanjang tempoh itu, Israel hanya membenarkan orang Islam Palestin beribadah di masjid berkenaan.

Kelmarin Bennet turut melarang ahli Parlimen berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir dan penyokongnya daripada memasuki Bandar Lama di Baitulmuqaddis untuk mengadakan perhimpunan.

Ketegangan di Baitulmuqaddis Timur meningkat sejak beberapa minggu lalu selepas hampir sebulan pihak berkuasa Israel melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin di wilayah Tebing Barat.

Larangan tersebut dikuatkuasakan untuk mencegah keganasan daripada terus berlaku termasuk di Masjid Al-Aqsa yang menyaksikan lebih 170 orang cedera dalam pertempuran antara penduduk Palestin dan polis Israel.

Ben Gvir sebelum ini mengumumkan akan menyertai perhimpunan pada malam kelmarin. Menurutnya, dia akan berarak menerusi Pagar Damsyik yang merupakan pintu masuk utama ke Bandar Lama Baitulmuqaddis.

Dalam pada itu, Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Al-Kiswani berkata, Jabatan Islam Awqaf telah meminta pihak berkuasa Israel melarang kumpulan-kumpulan pelampau Yahudi daripada memasuki masjid itu dari 16 April hingga Ramadan berakhir.

Namun, tiada sebarang maklum balas yang diterima sehingga kini.

Sumber: Kosmo