2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-06 at 12.30.30 PM
Uncategorized @ms

Penduduk Palestin di Gaza semakin ‘dihimpit’

Pertempuran di Gaza terus meruncing dengan serangan terbaharu semalam mengakibatkan beribu-ribu rakyat Palestin terpaksa melarikan diri jauh ke selatan mencari perlindungan.

Meninjau laporan Berita Harian, Israel tidak akan menghentikan serangan atau pengeboman walaupun negara pengantara, Qatar, berkata Hamas memberi sokongan ‘awal’ kepada syor pertukaran tahanan yang akan menghentikan perangnya dengan Israel.

Ribut musim sejuk serta hujan lebat turut melanda wilayah pantai yang musnah, dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, UNRWA menyifatkan krisis di Gaza sebagai ‘sangat teruk’.

“Keadaan di Gaza sangat teruk dan mereka sangat terdesak serta ‘terhimpit’, manakala dunia seolah-olah kehilangan nilai kemanusiaan,” katanya menerusi media sosial.

Menurut saksi, serangan Israel yang menyasarkan Gaza tengah dan selatan, memaksa ribuan rakyat Palestin melarikan diri, dengan sebahagian dilihat memakai sut hazmat tinggalan semasa memerangi wabak COVID-19, untuk melindungi diri mereka daripada cuaca buruk.

Sementara itu, rakaman video AFP menunjukkan orang ramai bergegas menyelamatkan diri dengan bunyi tembakan jelas kedengaran di Khan Younis, disusuli asap hitam berkepul-kepul di udara akibat letupan berhampiran.

Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) mengumumkan kematian tiga pekerja mereka, masing-masing dua pada Rabu dan seorang lagi semalam dalam kejadian di sekitar hospital Al-Amal di Khan Younis.

“Sebarang serangan ke atas pekerja penjagaan kesihatan, ambulans dan kemudahan perubatan tidak boleh diterima,” kata IFRC dalam satu kenyataan.

Bulan Sabit Merah Palestin sebelum ini berkata, penembak hendap Israel menembak satu daripada bangunan yang diduduki beribu-ribu orang bagi berlindung selepas melarikan diri dari kediaman mereka yang musnah diserang.

Peperangan yang berlanjutan hampir empat bulan itu memusnahkan Gaza, manakala pengepungan Israel mengakibatkan penduduk semakin kekurangan makanan, air, bahan api serta ubat-ubatan.

Imej yang dikeluarkan semalam oleh pusat satelit PBB UNITAR berdasarkan rakaman yang dikumpul pada 6 dan 7 Januari menunjukkan kira-kira 30 peratus struktur di Gaza terjejas akibat perang.

“Penemuan baharu itu memberikan anggaran 93,800 unit rumah rosak di Semenanjung Gaza,” kata UNITAR.

Susulan itu, ratusan ribu orang awam Palestin kehilangan tempat tinggal dan mereka kini terpaksa berlindung di bangunan yang dibom serta di kem pelarian sementara.

Krisis kemanusiaan dan jumlah kematian orang awam semakin meningkat hingga mencetuskan gesaan antarabangsa bagi gencatan senjata.

Semalam, agensi kemanusiaan PBB bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), berkata pihaknya sangat bimbang mengenai peningkatan pertempuran di Khan Younis, yang mendorong kebanjiran orang ramai di Rafah untuk berlindung.

“Rafah menjadi ‘benteng terakhir’ kepada mereka terdesak serta putus asa dan kami bimbang mengenai apa yang akan berlaku seterusnya,” kata jurucakap OCHA, Jens Laerke.

Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menganggarkan sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak di Gaza ditinggalkan tanpa ditemani atau terpisah daripada ibu bapa mereka akibat perang.

“Setiap orang mempunyai kisah menyayat hati mengenai kehilangan dan kesedihan,” kata jurucakap UNICEF di wilayah Palestin, Jonathan Crickx.

Katanya, usaha untuk mengesan keluarga kanak-kanak itu terbukti ‘amat sukar’ memandangkan mereka yang dibawa ke hospital akibat cedera atau trauma langsung tidak boleh menyebut nama masing-masing.

Keganasan turut berlaku di Tebing Barat yang diduduki, di mana lebih 370 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera dan peneroka Israel sejak 7 Oktober.