2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PENCEMARAN UDARA: SEMUA SEKOLAH DI BANGKOK DITUTUP

BANGKOK – Semua sekolah di bawah penyeliaan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) diarah ditutup mulai Rabu sehingga hari ini, Jumaat, berikutan kualiti udara yang teruk tercemar sejak Selasa lalu.

BMA juga memberi amaran bahawa kualiti udara akan bertambah buruk kerana kitaran udara yang lemah mengakibatkan pengumpulan debu PM2.5 di persekitaran.

Jurucakap BMA, Pongsakorn Kwanmuang, berkata projek pembinaan kereta api elektrik di ibu kota itu turut diarah dihentikan sehingga Jumaat ini.

Polis Thailand pula meningkatkan usaha menghalang kenderaan besar seperti lori enam roda daripada memasuki pusat bandar Bangkok pada siang hari dengan melakukan sekatan jalan raya dan pemeriksaan pelepasan asap.

Kakitangan pihak berkuasa Bangkok dikerah meronda kawasan persekitaran bagi memastikan tiada pembakaran terbuka dilakukan, manakala pekerja majlis perbandaran menyembur air di jalan bagi mengurangkan masalah debu.

Jabatan Kawalan Pencemaran berkata keseluruhan Bangkok dan persekitarannya didapati mengandungi kadar debu berlebihan sehingga PM2.5 sejak pagi semalam, berukuran antara 55 hingga 90 mikron.

Menurut jabatan itu, 62 stesen pengukur kualiti udara di Bangkok dan wilayah berhampiran menunjukkan tahap membahayakan PM2.5, melebihi had keselamatan 50 mikron.

Sumber: Berita Harian