680825fa-b276-44ef-9aba-c6905fb3b2e1.jpg
Info Semasa

Peluru berpandu Israel ragut 3 nyawa dekat Damsyik

DAMSYIK: Serangan peluru berpandu Israel mengorbankan tiga orang dekat ibu kota Syria, Damsyik kelmarin, lapor media pemerintah yang memetik sumber tentera.

“Keganasan Israel menyebabkan kematian tiga orang dan kerosakan harta benda,” lapor agensi berita rasmi SANA.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari Bukit Golan yang dikuasai Israel dan dipintas oleh sistem pertahanan udara Syria, kata sumber sama.

Beberapa koresponden agensi berita AFP di Damsyik berkata mereka mendengar bunyi bising pada waktu malam.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) pula memberitahu, tiga orang yang terbunuh itu adalah pegawai tentera, manakala empat kru pertahanan udara Syria cedera.

“Serangan Israel menyasarkan kedudukan dan depoh senjata Iran dekat Damsyik,” kata SOHR.

Menurutnya, kebakaran berlaku di sebuah lokasi di Iran dekat lapangan terbang Damsyik, manakala beberapa ambulans dilihat di lokasi sama.

Serangan terbaru itu menyusuli bedilan pada 13 Mei lalu yang membunuh lima orang di tengah Syria dan serangan berasingan dekat Damsyik pada 27 April lalu yang menurut SOHR, meragut nyawa 10 pejuang termasuk enam askar Syria.

Rejim Zionis melancarkan ratusan serangan udara ke atas Syria menyasarkan pejuang Hezbollah sejak perang saudara meletus di negara itu pada 2011.

Walaupun Israel tidak mengulas mengenai mana-mana serangan tertentu, rejim Zionis mengaku melancarkan ratusan bedilan peluru berpandu.

Tentera Israel memberi alasan bahawa serangan itu perlu bagi menghalang musuh ketatnya, Iran daripada mengukuhkan kedudukan di Syria yang berjiran dengan Israel.

Sumber: BH