2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
873c7a7b-c665-4a26-9dbe-a83d45d136bb.jpg
Info Semasa

Konasheher di Xinjiang catat kadar pemenjaraan tertinggi dunia

BEIJING: Sebuah daerah yang terletak di wilayah selatan Xinjiang di China merekodkan kadar pemenjaraan paling tinggi di dunia.

Berdasarkan data, hampir seorang daripada 25 penduduk di daerah Konasheher, Xinjiang dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan berkaitan keganasan.

Agensi berita Associated Press mengesahkan sebuah data yang mengandungi senarai nama lebih 10,000 etnik Uighur yang dihantar ke penjara di daerah Konasheher.

Konasheher merupakan antara puluhan daerah yang terletak di selatan Xinjiang dan lebih 267,000 penduduk tinggal di kawasan tersebut.

Berdasarkan senarai nama tersebut, tempoh hukuman penjara dikenakan terhadap penduduk di daerah itu adalah antara dua hingga 25 tahun, dengan purata sembilan tahun.

Meskipun kebanyakan individu dalam senarai tersebut ditahan pada 2017 namun tempoh hukuman mereka terlalu lama sehingga sebahagian besarnya masih berada dalam penjara.

Kesemua individu yang ditahan terdiri daripada semua lapisan masyarakat termasuk lelaki, wanita, orang muda dan warga emas.

Mereka hanya mempunyai satu persamaan iaitu kesemuanya adalah etnik Uighur.

Beberapa pakar menyifatkan tindakan itu jelas menunjukkan penduduk dari daerah berkenaan disasarkan semata-mata kerana menjadi Uighur.

Bagaimanapun, pihak berkuasa China menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Jurucakap pentadbiran Xinjiang, Elijan Anayat menegaskan hukuman dilaksanakan mengikut undang-undang.

“Kami tidak menyasarkan secara khusus wilayah, kumpulan etnik, agama mahupun penduduk Uighur.

“Kami tidak pernah menzalimi individu yang baik atau melepaskan yang jahat,” katanya.

Sumber: Utusan