PELARIAN ROHINGYA ENGGAN PULANG TANPA KERAKYATAN
DHAKA, 29 JULAI – Pelarian Rohingya di Bangladesh difahamkan tidak akan pulang ke tanah air mereka, Myanmar melainkan mereka diiktiraf sebagai salah satu kumpulan etnik di tanah air sendiri.
Tuntutan itu dikemukakan oleh beberapa pemimpin etnik minoriti Muslim kepada beberapa pegawai Myanmar yang berkunjung di kem pelarian ketika satu rundingan baharu penghantaran balik bermula berlangsung.
Ini adalah kali kedua pegawai Myanmar melawat kem di Cox’s Bazar dalam cubaan meyakinkan pelarian Rohingya supaya memulakan proses kembali ke negara asal mereka.
Oktober lalu, wakil Rohingya menolak tawaran untuk pulang ke tanah air, ketika satu delegasi Myanmar mengadakan rundingan dengan pemimpin kumpulan itu.
Kali ini, delegasi Myanmar diketuai setiausaha tetap asing, Myint Thu mengadakan rundingan dengan 35 pemimpin Rohingya di Cox’s Bazar, selama dua hari berturut-turut.
Rata-rata pemimpin Rohingya memaklumkan bahawa mereka mahu Myanmar mengiktiraf mereka sebagai satu kumpulan etnik dengan hak terhadap kerakyatan Myanmar sebelum pulang.
Sumber: Berita Harian