2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PELAJAR MALAYSIA BERHIJAB TAKUT JALAN SEORANG DIRI DI AS

INSIDEN kematian lelaki kulit hitam, George Floyd dibimbangi akan menjadikan isu perkauman di Amerika Syarikat (AS) terus menular sehingga menyebabkan rakyat negara itu terjejas.

Lebih membimbangkan, rusuhan dan keganasan di negara itu mungkin akan menyebabkan rakyat negara lain yang berada di negara tersebut terutama yang beragama Islam terancam.

Antara kawasan yang terjejas oleh perusuh ialah State Street di Madison, Wisconsin yang mana terdapat kira-kira 50 pelajar Malaysia tinggal di bandar raya itu.

Alumni Kelab Bunga Raya (KBR) AS, Yassier Mohammed, 23, berkata, tidak dinafikan selain wabak Covid-19, wujud kebimbangan tentang ‘virus perkauman’ ekoran perkembangan terbaharu di situ.

“Pada saya dan rakan-rakan rapat, ada rasa takut perkara ini akan menguatkan lagi konflik perkauman di AS atau di Wisconsin sendiri.

“Rakan-rakan perempuan yang berhijab mula takut untuk jalan seorang diri. Hari ini saya sendiri temankan rakan-rakan perempuan keluar membeli barang dan balik rumah menggunakan kereta kerana bimbang perkara itu,”.

Yassier yang merupakan pelajar University of Wisconsin-Madison, AS berkata, mereka kini dalam keadaan berjaga-jaga dengan mengelakkan daripada berada kawasan rusuhan yang berlaku iaitu di State Street.

Katanya, pada awalnya hanya berlangsung protes secara aman di situ pada tengah hari Sabtu lalu namun terdapat sekumpulan kecil individu yang bertindak melakukan keganasan menyebabkan tercetusnya ketegangan.

“Namun setakat ini tiada sebarang perintah berkurung dikeluarkan oleh pemerintah mahupun pihak universiti. Mengikut portal sosial media pemerintah, mereka tidak melakukan perintah berkurung di Madison tapi mereka menegaskan bahawa kita perlu elak melalui kawasan tersebut.

“Pihak polis juga tidak mengeluarkan sebarang perintah berkurung tetapi mereka terus menasihatkan untuk elakkan State Street bagi mengurangkan ketegangan yang berlaku kerana terdapat banyak video menunjukkan polis dan peserta rusuhan saling bertukar serangan termasuk gas pemedih mata,” katanya.

Tambah Yassier yang sudah tiga tahun menetap di AS, secara amnya kini pelajar dinasihatkan untuk terus duduk di rumah kerana tidak dapat dipastikan apa perkembangan yang akan berlaku selepas protes berkenaan.

Ketika ini, katanya, kawasan State Street masih dikawal oleh pihak polis dan terdapat beberapa kawasan kedai yang mengalami kerosakan yang serius.

“Pintu kaca dipecahkan dan berlaku kebakaran kereta polis yang saya rasa merupakan satu isyarat besar menandakan protes kepada pihak penguasa.

“Terdapat gambar menunjukkan polis telah menutup sedikit sudut laluan masuk ke jalan tersebut dan mereka telah memasang pagar, jadi saya tidak dapat maklumat apa yang akan berlaku esok,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak universiti memberi jaminan atas keselamatan pelajar. Yassier yakin pihak kedutaan Malaysia di AS juga mengambil maklum berhubung perkembangan di situ.

“Saya rasa kesemua pelajar Malaysia di AS telah ambil langkah proaktif bagi menjaga keselamatan masing-masing iaitu mengurangkan risiko untuk keluar rumah kerana bukan setakat ancaman virus Covid-19 tetapi kita juga ada virus perkauman di AS yang sedikit sebanyak akan mengganggu jaminan keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, Yassier berkata, keganasan yang berlaku tidak seharusnya dikaitkan dengan protes aman yang telah dilakukan kerana kemungkinan berlaku unsur sabotaj.

“Protes yang diselangi dengan keganasan akan juga menyebabkan masalah lain muncul. Individu-individu yang melakukan keganasan, yang tidak seharusnya mewakili keseluruhan ahli perhimpunan aman tersebut perlu dikutuk di atas perlakuan tersebut,” kata beliau.

Sumber: Berita Harian