PBB SAHKAN PENINGKATAN KES KEMATIAN DI AFGHANISTAN
KABUL, 31 JULAI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 3,812 orang awam terbunuh atau cedera untuk separuh tahun pertama 2019 semasa peperangan menentang kumpulan militan selain peningkatan jumlah korban akibat dibedil tentera kerajaan dan tentera asing.
Angka kematian terbaru disiarkan tatkala perbincangan antara Taliban dan pegawai Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang Afghanistan yang berlangsung hampir 18 tahun.
Meskipun peperangan berlaku dan usaha diplomatik dilakukan, orang awam terpaksa hidup dalam ketakutan kerana sering menjadi sasaran militan atau ditahan semasa pertempuran darat selain menjadi mangsa serangan udara oleh kerajaan Afghanistan dan tentera asing.
Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) pula menyatakan orang awam paling ramai menjadi korban serangan darat serta disusuli serangan bom dan serangan udara.
Tambah wakil UNAMA itu juga, pemberontak Taliban dan militan Daesh membunuh 531 penduduk Afghanistan dan mencederakan 1,437 orang antara 1 Januari dan 30 Jun 2019.
Selain itu, kumpulan militan dengan sengaja menyasarkan 985 orang awam termasuk pegawai kerajaan, pemimpin puak, pekerja bantuan dan pemimpin agama.
Tentera pro kerajaan telah membunuh 717 penduduk Afghanistan dan mencederakan 680 orang dalam tempoh enam bulan sehingga Jun, iaitu peningkatan 31 peratus dari tempoh sama tahun lepas.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 144 wanita dan 327 kanak-kanak terbunuh dan lebih 1,000 cedera di seluruh negara.
Sumber: Berita Harian