PBB boleh melawat Xinjiang, namun tidak boleh lakukan siasatan
BEIJING: Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelete dibenarkan untuk melawat wilayah Xinjiang.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Luar China, Wang Yi semalam, namun negara ini tidak mengalu-alukan sebarang siasatan yang dilakukan berdasarkan ‘fahaman yang salah’.
Bachelet sebelum ini dilaporkan sudah lama ‘mencari jalan’ untuk masuk ke Xinjiang bagi melihat sendiri keadaan penduduk di sana yang didakwa ditindas oleh kerajaan China.
Isu tersebut mengeruhkan lagi hubungan Barat dengan China, menyaksikan AS memboikot Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing, selain menuduh China melakukan penghapusan etnik di Xinjiang.
“China menolak semua jenis sikap berat sebelah, prasangka dan tuduhan yang tidak sepatutnya,” kata Wang Yi secara maya dalam Persidangan Keselamatan Munich.
Terdahulu, pelbagai kumpulan hak asasi manusia menuduh China melakukan penindasan besar-besaran terhadap etnik Uighur yang beragama Islam.
Kumpulan penduduk minoriti itu didakwa ditahan di pusat tahanan, selain golongan wanita ‘dimandulkan’ secara paksa bagi mengawal populasi etnik tersebut.
China sehingga kini menafikan kesemua dakwaan tersebut, malah menegaskan kem tahanan itu bertujuan memberi pendidikan dan latihan semula kepada penduduk Xinjiang.
Selain itu, kem tersebut juga berfungsi memerangi kegiatan atau propaganda berkaitan keganasan yang boleh mengancam keselamatan China.
Wang Yi menegaskan, laporan Barat mengenai kem tahanan itu ‘salah sama sekali’ dan hanya rekaan semata-mata.
“Saya berharap anda tidak percaya dengan semua laporan itu, sebaliknya percaya dengan kerajaan China,” tegasnya.
Sumber: UM