2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PBB BERI AMARAN KRISIS KELAPARAN DI MYANMAR

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia memerlukan dana segera untuk memberi makanan kepada Myanmar kerana dikhuatiri 6.2 juta penduduknya mungkin berdepan krisis kelaparan menjelang Oktober ini.

Program Makanan Dunia (WFP) PBB, menjelaskan ia kekurangan 70 peratus daripada AS$86 juta (RM362.8 juta) yang diperlukan dalam tempoh enam bulan akan datang, berikutan negara itu berdepan pelbagai krisis.

Badan itu berkata, gelombang jangkitan COVID-19 melanda negara itu, mengakibatkan peningkatan kelaparan, kenaikan harga makanan dan bahan bakar, rusuhan politik serta keganasan dan penghijrahan.

“Kita melihat jumlah mereka kelaparan semakin ramai dan membimbangkan di Myanmar.

“Hampir 90 peratus isi keluarga yang tinggal di kawasan setinggan di sekitar Yangon mendakwa mereka terpaksa berhutang untuk membeli makanan ekoran pendapatan terjejas,” kata pengarah WFP Myanmar, Stephen Anderson.

Myanmar berdepan dengan kacau bilau dan kelumpuhan ekonomi sejak tentera mengambil alih kuasa dari pemimpin rakyat, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Negara itu berdepan dengan protes besar-besaran selain tindakan ganas oleh tentera sejak rampasan kuasa itu.

WFP sudah melancarkan bantuan makanan pada Mei lalu dengan menyasarkan dua juta orang di Yangon dan Mandalay, dua bandar terbesar negara itu.

Sehingga kini, 1.25 juta orang di Myanmar sudah menerima makanan, wang ringgit dan bantuan nutrisi WFP.

Bercakap kepada wartawan di Geneva menerusi video dari ibu negara Naypyidaw, Andeson berkata, gelombang ketiga COVID-19 mengancam negera itu ‘seperti tsunami’ dan meninggalkan ‘kesan besar’ terhadap kehidupan rakyat.

“Mereka berdepan saat yang paling sukar dalam hidup mereka. Adalah penting untuk kita untuk membantu mereka yang memerlukan dan mengambil dana itu untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian