2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PALESTIN SAMBUT BAIK BANTAHAN DUNIA PROJEK PENEMPATAN ISRAEL

RAMALLAH: Palestin mengalu-alukan pendirian komuniti antarabangsa yang menentang pembinaan semula 9,000 penempatan Israel di Baitulmaqdis Timur, lapor agensi berita Xinhua.

Kementerian Luar Palestin menyifatkan pendirian komuniti antarabangsa itu sebagai ‘langkah praktikal menuju ke arah yang tepat’, dan ‘lebih banyak tindakan diperlukan bagi mencapai matlamat menghentikan penempatan Israel’.

Kenyataan itu menggesa komuniti antarabangsa meningkatkan usaha mempersiapkan suasana untuk memulakan proses keamanan sebenar di Asia Barat, berdasarkan rujukan keamanan antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian itu turut menggesa Amerika Syarikat (AS) mengambil ‘langkah praktikal’, khususnya membuka semula konsulat AS untuk menguruskan hal ehwal Palestin di Baitulmaqdis Timur.

Pada Selasa, media Israel melaporkan jawatankuasa perancangan dan pembinaan dalam perbandaran Baitulmaqdis di Israel menangguhkan projek membina lebih 9,000 kediaman baharu di kawasan lapangan terbang (Atarot/Qalandia).

Penangguhan itu diputuskan selepas jawatankuasa berkenaan memohon kaji selidik bagi mengenal pasti impak alam sekitar bagi projek berkenaan, membabitkan proses yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.

Rancangan yang dibentangkan bulan lalu itu turut dikatakan mencetus kemarahan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, selain ditentang negara yang menyokong penyelesaian dua negara.

Sementara itu, Kementerian Luar Palestin turut membangkitkan mengenai kempen mengelirukan mengenai projek penempatan projek secara umum, khususnya sejak jawatankuasa itu menangguhkan kelulusan projek dan tidak membatalkannya.

Israel menceroboh Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang dituntut Palestin, ketika perang Asia Barat 1967 dan mengawal kawasan terbabit sejak itu.

Menurut anggaran Israel dan Palestin, kira-kira 650,000 penduduk Israel menetap di 164 penempatan dan 124 kawasan pinggiran di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Langkah memperluaskan penempatan Israel menjadi isu paling hangat dalam konflik Palestin-Israel dan menjadi antara faktor utama rundingan damai antara kedua-dua pihak tergendala sejak 2014.

Sumber: Berita Harian