2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PALESTIN ‘HILANG’ SATU LAGI SAHABAT

MAGHRIBI yang terletak di Afrika Utara menjadi negara keempat Liga Arab menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada Khamis lalu selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan lebih awal melakukannya pada tahun ini.

Kesemua negara itu berhubungan secara rasmi dengan negara Yahudi tersebut apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi perantara antara Rabat dengan Tel Aviv sebelum beliau tamat berkhidmat pada 20 Januari tahun depan.

Sebelum ini, Mesir dan Jordan yang juga anggota Liga Arab telah menjalin hubungan dengan Israel masing-masing pada tahun 1982 dan 1979.

Sudan juga menjadi anggota Liga Arab yang mempunyai 22 keanggotaan termasuk Palestin.

Maghribi menjalin hubungan dengan Israel selepas Trump dan negaranya mengiktiraf tuntutan Rabat ke atas wilayah Sahara Barat yang menjadi pertikaian antara Maghribi dengan pergerakan Pembela Polisario sejak tahun 1970-an lagi.

Sokongan itu dijangka menimbulkan satu lagi konflik kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih belum mengiktiraf kedaulatan negara tersebut ke atas wilayah tersebut yang sebelum ini merupakan koloni Sepanyol.

Tuntutan Rabat

Pembela Polisario yang menguasai satu perlima Sahara Barat dan mendapat sokongan jiran Maghribi, Algeria itu telah menuntut kemerdekaan di wilayah tersebut sejak berdekad-dekad lalu dan sanggup berperang dengan Rabat.

Menurut agensi berita AFP, satu gencatan senjata berusia sedekad berakhir pada pertengahan November lalu selepas Maghribi menyatakan ia menghantar tentera ke wilayah tersebut bagi membuka sebatang jalan raya untuk menuju ke sebuah lagi negara Liga Arab iaitu jirannya, Mauritania.

Tindakan AS itu dijangka menimbulkan konflik baharu antara PBB, Pembela Polisario dan Maghribi manakala rundingan badan dunia dengan Algeria dan Mauritania gagal mencapai kata sepakat berhubung isu itu.

Pada tahun 1957, selepas merdeka daripada Perancis, Maghribi mendakwa wilayah kecil yang menghadap Lautan Atlantik itu sebagai miliknya manakala pada tahun 1960, Mauritania juga membuat tuntutan yang sama.

Kebangkitan gerakan gerila Pembela Polisario penduduk tempatan Sahara Barat dikenali sebagai Sahrawi telah berjaya mengusir keluar Sepanyol dari wilayah yang kaya dengan garam fosfat itu pada tahun 1975.

Selain konflik baharu yang akan timbul berikutan sokongan Trump dan AS itu, Maghribi sebenarnya telah menjalin hubungan secara tidak rasmi dengan Israel dari segi perisikan, keselamatan dan isu-isu diplomatik bagi tempoh lebih 60 tahun.

Walaupun mempunyai kerjasama secara tidak rasmi, Maghribi juga membantu memperjuangkan nasib Palestin sungguhpun ia pernah menjadi tempat perlindungan ramai penduduk Yahudi ketika negara tersebut belum merdeka lagi dan sebelum kewujudan Israel pada tahun 1948.

Menurut Kongres Yahudi Eropah, penduduk Yahudi telah tinggal di Maghribi sejak lebih 2,000 tahun lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menyambuk baik hubungan itu dan menganggapnya sebagai hari yang bersejarah apabila hubungan rasmi itu diumumkan.

Bantuan Raja Mohammed VI

Menurut akhbar New York Times, Almarhum Raja Hassan II dan kerajaannya pernah membantu menjadikan Maghribi tempat perbincangan secara rahsia antara Mesir dan Israel sebelum perjanjian Camp David pada tahun 1978 mengenai Palestin dimeterai di AS.

Pada tahun 1977 hingga 1978, Maghribi turut memainkan peranan sebagai perantara apabila mengendalikan pertemuan rahsia antara negara-negara Arab dengan Israel bagi mencari penyelesaian krisis Palestin.

Negara itu juga dikatakan pernah menghantar ribuan tentera untuk menentang Israel dalam Perang Arab dengan Israel pada tahun 1973 dengan kedua-dua pihak mendakwa memenangi perang tersebut.

Raja Mohammed VI iaitu pemerintah negara itu kini banyak membantu Palestin dengan menyediakan sokongan moral dan material antaranya menyediakan bajet kecemasan sebanyak AS$5 juta (RM20.26 juta) kepada penduduk Palestin selepas Israel menyerang Gaza.

Negara itu juga membantu menubuhkan sebuah hospital untuk menyediakan rawatan kesihatan kepada penduduk Palestin di Gaza pada tahun 2012.

Justeru, menurut AFP, Raja Mohammed VI sanggup memberitahu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan memastikan baginda tidak akan menghapuskan peranannya bagi mempertahankan penduduk Palestin pada Khamis lalu apabila negaranya menjalin hubungan dengan Israel.

Yang pasti, keputusan menjalin hubungan dengan Israel itu menyebabkan Maghribi dilemparkan dakwaan menikam belakang penduduk Palestin.

Buat masa ini, Hamas dan Jihad Islam dilaporkan menentang hubungan normal antara Maghribi dengan Israel manakala pihak berkuasa Palestin masih tidak membuat sebarang kenyataan segera berhubung isu tersebut.