bbe3702a-48ab-4b68-9caf-f03f0728c952.jpg
Info Semasa

OIC kecam pencerobohan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin mengecam dan menolak segala tindakan pencerobohan tentera Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.

Perkara itu dinyatakan dalam ucapan Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha ketika mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif pertubuhan itu yang diadakan secara maya.

Mesyuarat tergempar itu diadakan atas permintaan Indonesia untuk membincangkan kekasaran tentera Israel yang semakin melampau sejak kebelakangan ini terhadap umat Islam Palestin di masjid suci itu.

Beliau berkata, Bumi Palestin secara amnya dan kota Baitulmaqdis khususnya baru-baru ini menyaksikan peningkatan serangan dan pencerobohan oleh tentera Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas tapak suci Islam dan Kristian, terutamanya Masjid Al-Aqsa.

“Saya telah bercakap dengan beberapa pihak antarabangsa dan memaklumkan kepada mereka tentang penolakan dan kecaman OIC terhadap percubaan Israel yang memaksa pembahagian ruang dan waktu dalam kawasan Masjid Al-Aqsa untuk rakyatnya.

“Kami sekali lagi menyeru kepada semua pihak dan pertubuhan antarabangsa untuk memikul tanggungjawab mereka dan terlibat dalam usaha yang membawa kepada pengakhiran pencerobohan Israel serta mewujudkan penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Kami juga ingin menekankan keperluan dan kepentingan dalam memelihara sejarah dan undang-undang yang wujud di Masjid Al-Aqsa kerana ia adalah tempat ibadat suci khusus untuk umat Islam”, katanya.

Setakat ini, seramai 200 rakyat Palestin cedera di pekarangan Masjid Al-Aqsa ketika pertempuran tercetus dengan tentera Israel sejak beberapa minggu lalu.

Tapak suci yang menjadi pertikaian antara dua agama itu dikenali sebagai pekarangan Masjid Al-Aqsa untuk umat Islam dan Temple Mount bagi Yahudi, terletak di Kota Lama Baitulmaqdis dan diilhakan Israel ketika perang Asia Barat 1967.

Tapak itu telah ditadbir oleh Wakaf Muslim Jordan tetapi dilindungi pasukan polis Israel.

Sumber: Sinar Harian