2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
f6f3d0c9-13cc-4379-8d3f-55c14e5ad60a.jpg
Info Semasa

Israel diberi amaran supaya tidak lupa Penyelesaian Dua Negara

KAHERAH: Mesir, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersatu menekan Israel supaya menghentikan semua tindakan yang boleh menjejaskan formula Penyelesaian Dua Negara.

Ketiga-tiga negara itu malah menggesa Israel kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin mengikut undang-undang antarabangsa.

Jurucakap Pejabat Presiden Mesir berkata, kesemua pemimpin bersetuju untuk meneruskan penyelarasan dan perundingan mengenai semua isu dan kepentingan sejagat bersama.

“Kita menyokong tindakan bersama Arab dan membuat usaha yang diperlukan untuk memelihara keselamatan negara,” katanya lapor Arab News.

Terdahulu, Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi menerima kunjungan pemimpin Jordan, Raja Abdullah dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed di Lapangan Terbang Kaherah.

Rundingan tersebut juga membuat penilaian terhadap perkembangan terkini serantau terutamanya melibatkan peningkatan ketegangan Israel-Palestin.

Ketiga-tiga pemimpin menekankan ‘kepentingan mengekalkan usaha memulihkan keamanan di Baitulmuqaddis serta keperluan menghormati status quo undang-undang dan sejarah Masjid Al-Aqsa.

Dalam perkembangan lain, negara Arab mengutuk Israel semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memfokuskan konflik Israel-Palestin, Isnin lalu.

Perwakilan dari beberapa negara Arab dengan lantang menentang tindakan polis Israel terhadap rakyat Palestin, terutamanya keganasan yang berlaku minggu lalu di Baitulmuqaddis Timur dan Al-Aqsa.

Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, Israel membuat ‘justifikasi keselamatan’ demi menghalalkan keganasan yang dilakukan oleh pasukannya.

“Keselamatan digunakan sebagai justifikasi bagi semua perkara.

“Keselamatan untuk mewajarkan pendudukan haram, pemindahan secara paksa, sekatan tidak berperikemanusiaan, membunuh kanak-kanak, pengeboman di kejiranan, menyerang rakyat dan merampas tanah serta rumah ibadat kami.

“Mereka melabelkan orang Islam yang beribadah sebagai ‘pengganas’. Sedangkan ini adalah bentuk penyelewengan tidak berkesudahan yang menyinggung perasaan dan sangat berbahaya,” ujarnya.

Sumber: Utusan