2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-10-11 at 10.21.16 AM (1)
Info Semasa

Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB gagal capai kata sepakat isu Palestin dan Israel

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat tergempar secara tertutup berikutan konflik di Israel dan Gaza tetapi gagal mencapai kata sepakat yang diperlukan untuk mengemukakan satu kenyataan bersama berhubung isu tersebut.

Menurut laporan Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya 1,100 orang terbunuh sejak pertempuran antara kumpulan pejuang Hamas dan Israel tercetus Sabtu lalu.

Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menggesa 15 ahli majlis itu untuk mengutuk keras tindakan Hamas.

Majlis itu bermesyuarat selama kira-kira 90 minit dan mendengar taklimat daripada utusan keamanan Asia Barat PBB, Tor Wennesland.

Diplomat berkata, anggota yang diketuai oleh Russia mengharapkan tumpuan yang lebih luas daripada sekadar mengutuk Hamas dengan kenyataan perlu dipersetujui secara konsensus.

“Mesej saya adalah untuk menghentikan pertempuran serta-merta dan pergi kepada gencatan senjata serta rundingan bermakna yang diberitahu selama beberapa dekad oleh Majlis Keselamatan.

“Ini sebahagiannya adalah kesan daripada isu yang tidak dapat diselesaikan itu,” kata Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia.

Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE), Zaki Nusseibeh berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak mesyuarat UNSC mengenai krisis itu.

“Saya rasa semua orang faham bahawa hari ini, situasi ini sudah berada di tahap yang amat membimbangkan.

“Ramai ahli majlis percaya bahawa perbincangan politik yang membawa kepada penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan konflik ini,” katanya.

Duta Besar Palestin, Riyad Mansour menyeru para diplomat untuk memberi tumpuan kepada usaha menamatkan pendudukan Israel.

“Malangnya, sejarah bagi sesetengah media dan ahli politik bermula apabila rakyat Israel dibunuh.

“Ini bukan masa untuk membiarkan Israel menggandakan usahanya yang mengerikan itu. Ini adalah masa untuk memberitahu Israel bahawa ia perlu mengubah haluan, bahawa ada jalan menuju keamanan di mana tidak ada rakyat Palestin mahupun Israel yang terbunuh,” tegasnya.