2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

MAHKAMAH MAGHRIBI HUKUM PENJARA WANITA HINA ISLAM

RABAT – Seorang wanita yang memegang kerakyatan Maghribi dan Itali dihukum penjara tiga tahun dan enam bulan dan didenda hampir AS$6,000 (RM24,933) di sebuah mahkamah di Maghribi kerana menghina Islam secara tidak sengaja, kata bapanya pada Rabu.

Menurut portal berita Morocco World News, dia dituduh menyiarkan ayat daripada kitab al-Quran yang telah dipinda bagi memuji penggunaan alkohol di laman Facebook pada tahun 2019.

Wanita berumur 23 tahun itu ditangkap pada awal bulan lalu di sebuah lapangan terbang di negara tersebut ketika dia tiba dari Perancis.

Menurut AFP, bapanya berkata, anaknya itu tidak mengetahui bahawa dia merupakan individu yang akan ditangkap menerusi satu waran tangkap.

Bapanya berkata, wanita berkenaan berkongsi di laman Facebook tentang satu ayat daripada kitab al-Quran tanpa mengetahui kandungannya kerana dia tidak fasih berbahasa Arab.

Dalam pada itu, bapa wanita itu meminta supaya nama dia dan anaknya tidak didedahkan.

Keluarganya akan membuat rayuan ekoran hukuman tersebut.

Artikel 267 penal kod Maghribi menetapkan hukuman penjara antara enam bulan hingga dua tahun dilaksanakan kerana kesalahan menghina Islam.

Namun, hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun akan dijatuhkan jika kesalahan menghina Islam dilakukan secara terbuka termasuk dengan menggunakan platform elektronik.

Sumber: Sinar Harian