WhatsApp Image 2023-09-11 at 2.17.20 PM
Info SemasaKenyataan MediaUncategorized @ms

MAGHRIBI SEDANG BERDUKA, NEGARA ISLAM SELURUH DUNIA PERLU TAMPIL MEMBANTU

Kenyataan Media Serantau Muslim
11 September 2023

MALAYSIA, 11 September 2023: Maghribi telah digegarkan dengan gempa bumi yang paling dahsyat sejak beberapa dekad. Insiden tidak diduga itu telah memberi kesan yang hebat dan menyayat hati dengan meragut ribuan nyawa, kecederaan yang kritikal dan ribuan masih hilang.

Salam takziah dan doa kesejahteraan dipanjatkan dari Serantau Muslim buat mereka di sana.

Gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda Maghribi pada jam 11 malam waktu tempatan tiga hari lalu, dengan pusat gempa terletak kira-kira 72 kilometer di kawasan pergunungan Tafeghaghte, barat daya Marrakesh, Maghribi itu telah mengakibatkan gegaran dirasai dengan kuat oleh penduduk yang berada di kawasan berhampiran.

Diberitakan kira-kira 2,862 orang telah disahkan maut semalam dan sekurang-kurangnya 2,562 lagi mangsa cedera, termasuk 1,404 orang dalam keadaan kritikal dalam insiden tidak diingini itu.

Serantau Muslim memanjatkan doa buat seluruh mangsa agar terselamat dan berharap segala proses pencarian mangsa dipermudahkan. Kami juga menyeru seluruh masyarakat dunia Islam termasuk Malaysia untuk bersama-sama bersolidariti dalam kedukaan rakyat Maghribi ini yang mana mereka berada dalam keadaan yang sangat memerlukan bantuan daripada semua aspek.

Ketika ini, Serantau Muslim difahamkan bahawa tiada kemalangan jiwa yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia dan kami menasihatkan agar seluruh rakyat Malaysia yang berada di Maghribi dapat terus berjaga-jaga dan dapat mengikut segala arahan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa di sana.

Malaysia dikenali seluruh dunia sebagai negara yang prihatin apabila berlaku kejadian bencana seperti ini, oleh yang demikian Serantau Muslim berharap Malaysia dapat menyalurkan sumbangan seperti mana yang dilakukan ketika gempa bumi di Turkiye dan Syria pada awal tahun lalu. Serantau Muslim yakin sifat keprihatinan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia terhadap isu kemanusiaan akan diteruskan lagi buat rakyat Maghribi.

Serantau Muslim turut menyeru seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama bersolidariti dan memberi sokongan kepada saudara kita di Mahgribi dengan memanjatkan doa serta menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban mereka. Serantau Muslim turut menggerakkan kutipan sumbangan melalui bantuankecemasan.com, kami membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia, dermawan dan badan-badan korporat untuk bersama-sama dalam misi bantuan ini. Semoga sumbangan kita walaupun kecil dapat membantu memberi sinar kegembiraan kepada mereka.

‘Persaudaraan Rentas Sempadan’

USTAZ MOHD HAKIM MOHD NOR
Pengerusi Serantau Muslim