Info SemasaKenyataan Media

LETUSAN SEMERU: RIBUAN PENDUDUK LUMAJANG HILANG TEMPAT TINGGAL

LUMAJANG: Sekurang-kurangnya 1,000 penduduk di daerah ini kehilangan tempat tinggal susulan letusan Gunung Berapi Semeru.

Kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan banyak harta benda dan barangan penting mereka, malah ada yang lari meninggalkan kediaman masing-masing dalam keadaan ‘sehelai sepinggang’.

Seorang penduduk, Abdul Manaf berkata, mereka tidak dimaklumkan mengenai tanda-tanda awal letusan Semeru.

“Tiada apa-apa amaran dan jika kami diberi makluman awal, sudah tentu banyak barangan yang kami dapat selamatkan.

“Kini, rumah sudah tiada, apa pun tiada. Sedih mengenangkan apa yang berlaku,” katanya.

Cerita lelaki warga emas berusia 54 tahun itu, ketika letusan berlaku, dia berehat di rumah.

Katanya, keadaan tiba-tiba menjadi gelap gelita dan tanpa ragu-ragu, dia terus melarikan diri bersama isteri serta anaknya.

“Letusan itu berlaku sangat pantas sehinggakan kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan selain melarikan diri secepat mungkin.

“Hanya Allah SWT bagaimana perasaan kami, ketakutan kami ketika itu,” ujarnya.

Dalam insiden ini, kami seluruh warga Serantau Muslim merakamkan ucapan takziah dan didoakan semoga semua mangsa yang terlibat sentiasa dalam lindungan Allah SWT serta diberikan ketabahan dalam mendepani ujian hidup.

Sumber: Utusan