2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
de391715-c2a2-4cbf-ab2f-53628200ce2c.jpg
Info Semasa

Lelaki Palestin ditahan Israel tamatkan mogok lapar lebih 160 hari

BAITULMAQDIS: Warga Palestin yang dipenjarakan oleh Israel, Khalil Awawdeh, semalam menamatkan mogok laparnya yang dilancarkan sejak lebih 160 hari lalu, selepas rejim Zionis bersetuju untuk membebaskan lelaki itu pada Oktober ini, menurut peguam beliau.

Awawdeh, 40, melancarkan mogok lapar sejurus ditangkap pada Disember tahun lalu, sebagai membantah penahanannya oleh Israel tanpa pertuduhan atau perbicaraan, iaitu amalan yang dikenali sebagai penahanan pentadbiran.

Peguamnya, Ahlam Haddad, memberitahu Reuters bahawa Awawdeh akan terus berada di hospital untuk menjalani rawatan sehingga beliau dijadual dibebaskan pada 2 Oktober depan.

Haddad berkata, Awawdeh bertahan selama berbulan-bulan dengan hanya meminum air, justeru memberi amaran bahawa lelaki itu ‘boleh maut pada bila-bila masa berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.’

Baru-baru ini, pihak Mesir yang bertindak sebagai perantara, mendesak Awawdeh dibebaskan bawah perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran selama tiga hari antara Israel dengan kumpulan pejuang Jihad Islam yang menyaksikan 49 terkorban di Gaza.

Setakat ini, tiada komen diperoleh daripada pihak Kementerian Pertahanan, perkhidmatan penjara atau tentera Israel.

Jurucakap kumpulan Jihad Islam Palestin, Dawoud Shehab, menyifatkan perjanjian itu sebagai satu pencapaian hasil usaha selama berminggu-minggu.

“Kami bersyukur atas usaha besar Mesir untuk memastikan pembebasan saudara Awawdeh,” kata Shehab kepada Reuters.

Dalam satu rakaman video yang dikongsikan melalui media sosial, Awawdeh yang kelihatan lemah, sangat kurus dan sering termengah-mengah ketika bercakap dari katil hospital, berkata beliau akan kekal berada di hospital sehingga kembali sihat serta mampu berjalan semula.

Dalam satu rakaman video lain dikongsikan peguamnya pula, Awawdeh berterima kasih kepada mereka yang menyokongnya, sebelum menamatkan mogok lapar beliau dengan meneguk secawan teh.

Sumber: BH