Lelaki Israel mati ‘disedut’ tanah jerlus di Baitulmuqaddis
Seorang lelaki maut disedut ke dalam lubang tanah jerlus (sinkhole) yang muncul di bawah sebuah kolam renang di Israel, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Mangsa yang berusia 30 tahun, ditemui di hujung terowong pada kedalaman 15 meter di bawah kolam di Karmei Yosef, tengah Israel.
Perkhidmatan kecemasan yang dilengkapi kamera GoPro bertindak mendirikan struktur untuk mengelak bahagian kolam lain runtuh. Mereka menjalankan operasi menyelamat selama empat jam sebelum menemui mayat mangsa.
Rakaman menunjukkan detik air kolam itu disedut masuk ke dalam tanah jerlus. Ketika kejadian, lebih 50 orang berada di lokasi itu untuk menghadiri pesta mandi-manda.
Beberapa pelampung termasuk pelampung berbentuk flamingo hilang ke dalam lubang yang terbentuk di tengah kolam, manakala pengunjung bergegas melarikan diri.
Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut diseret ke dalam lubang itu berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat keluar dan hanya mengalami cedera ringan.
Sebuah helikopter digunakan untuk mengesan tanah jerlus lain di kawasan itu.
Polis berkata, pihaknya sedang menyiasat kematian tersebut dan sama ada kolam itu dikendalikan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Paras air tiba-tiba surut dan sebuah lubang muncul, pusaran air berlaku dan menyedut dua orang ke dalam lubang itu,” kata seorang pengunjung kepada saluran televisyen Israel, Channel 12.
Sumber: Kosmo