Info SemasaKenyataan Media

LEBIH 2,000 KOSONGKAN RUMAH AKIBAT LETUSAN GUNUNG BERAPI

MANILA: Lebih 2,000 orang melarikan diri akibat gas beracun susulan letusan gunung berapi memenuhi ruang udara dekat ibu negara Filipina, kata pegawai, hari ini.

Gunung berapi Taal, terletak di sebuah tasik meletuskan belerang dioksida beberapa hari, menyebabkan jerebu tebal di Manila dan wilayah sekitarnya, mendorong amaran kesihatan.

Taal terletak hanya 50 kilometer (km) di selatan Manila dan mengeluarkan asap gunung berapi yang menutup cahaya matahari di ibu negara Filipina itu, hampir seminggu lalu.

Pejabat bencana wilayah Joselito Castro berkata, sekurang-kurangnya 2,400 orang meninggalkan rumah mereka sejak kerajaan mengarahkan dusun di tepi tasik dikosongkan.

“Kami jangka lebih ramai penduduk keluar beberapa hari lagi untuk berlindung di sekolah yang ditutup akibat COVID-19 atau rumah keluarga lain,” katanya.

Pegawai pertahanan awam memberi amaran lebih 317,000 orang mungkin terdedah kepada pelepasan gas toksik dari gunung berapi di bawah senario terburuk yang berlaku ketika ini.

Taal adalah antara gunung berapi paling aktif di negara yang mengalami letusan dan gempa bumi berkala kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik, zon aktiviti gempa kuat.

Letusan terakhir berlaku pada Januari 2020, meletuskan abu setinggi 15km dan lava, memusnahkan banyak rumah, membunuh ternakan dan menghantar lebih 135,000 orang ke tempat perlindungan.

Sumber: Berita Harian